- Iklan -
Berita

Wan Saiful kecam ‘bekas banduan’ Anwar guna pihak berkuasa tahan Muhyiddin, siasat Hadi

Ahli Parlimen Bersatu itu mengimbas kembali sabitan yang dikenakan terhadap perdana menteri itu atas kesalahan salah guna kuasa dua dekad lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 21 Februari.

Wan Saiful Wan Jan mengecam beberapa siri tindakan terhadap pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN), dengan mengatakan ini adalah cara Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memastikan beliau kekal berkuasa tanpa semak dan imbang.

Wan Saiful, pemimpin Bersatu yang ditahan dan didakwa atas tuduhan rasuah bulan lepas, berkata tindakan menahan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin serta menyiasat pemimpin PAS Abdul Hadi Awang adalah tidak mengejutkan.

“Anwar Ibrahim adalah seorang yang sebelum ini dihukum penjara atas kesalahan salah guna kuasa. Tidak pelik jika bekas banduan ini mengulang perangai lama apabila mendapat peluang duduk di atas singgahsana,” kata ahli Parlimen Tasek Gelugor, merujuk kepada sabitan rasuah terhadap Anwar sebelum ini.

Pada 1999, Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan pegawai atasan polis membuat pengakuan bertulis menafikan salah laku seksual yang dilakukan beliau.

Kenyataan Wan Saiful hadir ketika suhu politik negara semakin panas, dengan pemimpin pembangkang berkata kerajaan bertekad untuk melumpuhkan mereka menjelang pilihan raya negeri yang perlu diadakan tahun ini.

Wan Saiful, yang pernah mengetuai badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi atau Ideas, berkata rakyat Malaysia dan pemerhati asing mesti sedar bahawa "inilah Anwar yang sebenar".

“Tekanan yang Anwar kenakan kepada pembangkang adalah untuk melumpuhkan proses semak imbang. Nepotisme bermaharajalela dalam kerajaan Anwar.

“Anwar bukan seorang reformis. Dia seorang pendendam tua yang opportunis dan kuku besi.”

Beliau juga mempersoalkan tindakan polis menyiasat Hadi berhubung kenyataan beliau yang mahu menjatuhkan kerajaan, dengan berkata ia adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi.

"Tidak ada yang salah dengan kenyataan itu.

“Dalam demokrasi Westminster kita, kerajaan boleh ditukar pada bila-bila masa."