- Iklan -
Berita

Bekas pegawai Goldman terlibat skandal 1MDB dipenjara 10 tahun

Jumlah rampasan akan ditentukan kemudian, menurut Jabatan Kehakiman.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana membantu menyeleweng dana kekayaan Malaysia 1MDB di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat, 9 Mac. Gambar: Reuters
Bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng, keluar dari Mahkamah Persekutuan Brooklyn selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana membantu menyeleweng dana kekayaan Malaysia 1MDB di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat, 9 Mac. Gambar: Reuters

Hakim mahkamah Amerika Syarikat (AS) di New York pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap bekas jurubank Goldman Sachs, Roger Ng berikutan sabitannya dalam skandal rasuah besar-besaran 1MDB. 

Juri New York pada April 2022 mendapati Ng bersalah dalam skim melibatkan dana pelaburan Malaysia milik kerajaan, 1MDB susulan keterangan daripada Tim Leissner, seorang lagi bekas jurubank Goldman Sachs dan dalang yang terlibat sama.

Menurut Jabatan Kehakiman (DoJ) dalam satu kenyataan media, jumlah rampasan akan ditentukan kemudian.

"Roger Ng adalah dalang utama dalam skim mencurigakan itu yang bukan sahaja menganiaya rakyat Malaysia, tetapi juga berisiko menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan, pasaran, perniagaan dan institusi lain pada skala global," kata peguam AS Breon Peace.

"Hukuman hari ini bertujuan sebagai hukuman yang adil untuk jenayah yang dilakukan defendan dan amaran terdapat harga yang perlu dibayar untuk rasuah korporat."

Dana 1MDB ditubuhkan untuk mempromosikan ekonomi Malaysia, tetapi dirompak dalam skandal yang menggugat politik negara dan mencemarkan reputasi Goldman. 

Ng dan rakan komplotnya membayar lebih AS$1 bilion rasuah kepada pegawai kerajaan untuk mendapatkan tiga transaksi bon besar bagi Goldman dengan 1MDB, menurut DoJ.

Sebahagian daripada wang itu disalurkan untuk pembelian barangan mewah, seperti lukisan Jean-Michael Basquiat bernilai AS$51 juta dan berjuta-juta dolar lagi untuk beg tangan berjenama Hermes, kata DoJ.

Menurut DoJ, Leissner, yang mengaku bersalah pada Ogos 2018 atas dua pertuduhan jenayah, sedang menunggu giliran untuk dijatuhkan hukuman.

Dalang ketiga konspirasi ini, Low Taek Jho, masih bebas, kata DoJ.

Pada Oktober 2020, Goldman bersetuju membayar penalti AS$2.9 bilion dalam penyelesaian DoJ yang termasuk pengakuan bersalah di mahkamah AS oleh unit bank Malaysia.