- Iklan -
Berita

Blog terbitkan gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak

Beberapa gambar yang tersebar bakal membangkitkan kembali persoalan di Parlimen mengenai bekalan telur ayam dari India.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa keping gambar didakwa menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Beberapa keping gambar didakwa menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Sebuah blog memuat naik beberapa keping gambar yang didakwanya menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Gambar tersebut tersebar ketika persoalan berhubung pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk membekalkan telur ayam dari India.

Beberapa gambar yang disiarkan di blog "Checkmatebro" turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC M Saravanan duduk bersama pemimpin Amanah itu.

Gambar itu didakwa diambil semasa penerbangan mereka ke Chennai, India Januari lalu untuk bertemu pembekal bagi menangani masalah kekurangan telur ayam di Malaysia.

“Betul ke Mat Sabu ke India tengok ladang ayam bawa Deepak dan Saravanan? Kalau betul, kenapa? Apa peranan dia orang?” soal blog tersebut.

MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mat Sabu dan Deepak namun tidak berjaya.

MalaysiaNow juga telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan maklum balas.

Awal bulan ini, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun tahun ini.

Langkah itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan kualiti telur import.

Kenyataan Wee yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

Kenyataan itu menyebabkan Wee menerima surat tuntutan saman daripada firma undang-undang yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.

Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.