- Iklan -
Berita

Dilema Umno jika Pejuang sertai PN

Penganalisis berpendapat langkah itu mungkin akan menjejaskan pengundi konservatif, manakala Umno sendiri menangani kesan campur tangan Pakatan Harapan dalam urusannya dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang sukarelawan mengibarkan bendera Pejuang ketika Pilihan Raya Negeri Johor Mac tahun lalu.
Seorang sukarelawan mengibarkan bendera Pejuang ketika Pilihan Raya Negeri Johor Mac tahun lalu.

Umno kini berada dalam posisi yang janggal sebagai satu-satunya parti Melayu yang berada dalam blok kerajaan, apabila Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kini memohon untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

PN terdiri daripada dua lagi parti Melayu, iaitu PAS dan Bersatu, selain parti berbilang kaum Gerakan.

Ia menimbulkan persoalan bagaimanakah persepsi pengundi Melayu kepada parti itu, ketika tempoh enam Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.

Sebelum ini, kerajaan campuran yang diketuai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim masih bergelut untuk mendapatkan kepercayaan orang Melayu.

Penganalisis politik dari Singapore Institute of International Affairs Oh Ei Sun berkata, keadaan itu akan memberi impak kepada pengundi konservatif dalam kalangan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada pengundi daripada latar belakang progresif dan reformis.

"Mereka mungkin tidak suka Umno dengan bebanan politik yang dibawa parti itu sejak bertahun-tahun. 

"Tetapi mereka tidak boleh memikirkan sebuah negara yang diperintah oleh parti-parti konservatif," katanya kepada MalaysiaNow.

Pejuang merupakan parti serpihan kedua yang diasaskan oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad selepas Bersatu.

Parti yang bertunjangkan Melayu itu dilaporkan ingin menyertai PN.

Terdahulu, Mukhriz Mahathir, presiden parti itu membawa Pejuang keluar daripada Gabungan Tanah Air (GTA), sebuah gabungan parti-parti Melayu.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, sekali pun Pejuang diterima masuk, ia tidak mendatangkan kesan kepada Umno yang berkemungkinan besar membentuk pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) pada enam PRN akan datang.

"Pejuang sebenarnya mencari pohon untuk bergayut, supaya boleh 'terus hidup' sebagai sebuah parti politik.

"Ia sertai PN dengan harapan akan dapat kerusi untuk ditandingi pada PRN akan datang, terutamanya di Kedah," katanya.

Sebelum ini, Pejuang kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila semua calon Pejuang hilang deposit, termasuk Mahathir di Langkawi.

Mahathir kini menyertai Putra, sebuah lagi parti Melayu yang dipimpin oleh Ibrahim Ali.

Sementara pemerhati politik Mak Khuin Weng berkata, persepsi terhadap Umno diburukkan lagi dengan campur tangan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berhubung masalah parti itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ini kerana, PH dilihat berjaya meneutralkan Umno.

"Bagi orang Melayu, ia ibarat pengembirian dan menjadikan Umno sebagai sida. Seperti seorang sida, Umno perlukan 'solekan' untuk menutup keadaan sebenar.

"Semasa MCA menjadi sida untuk Umno, orang Cina membencinya dan mengundi DAP. 

"Kini giliran Umno menjadi sida," katanya.