- Iklan -
Berita

Asyraf Wajdi pengerusi baharu Mara, kata Zahid

Bekas ketua Pemuda Umno itu antara individu yang menyertai Zahid untuk menarik balik sokongan parti itu kepada Muhyiddin Yassin pada 2021.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Bekas ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan bekas ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) baharu berkuat kuasa Jumaat lepas.

Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata surat watikah pelantikan jawatan itu diserahkan kepada Asyraf Wajdi di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Putrajaya.

“Asyraf Wajdi dilantik, ia bukan desas-desus lagi, saya watikahkannya (surat pelantikan) pada Jumaat yang lepas.

“(Gambar tular) Sebab itu bukan berita politik maka ia adalah sahih dan pelantikannya dibuat di KKDW kerana Mara adalah agensi di bawah KKDW,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Ibu Pejabat Kejora, Bandar Penawar di Kota Tinggi hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan negeri Azmi Rohani. 

Asyraf Wajdi, 47, yang juga Sekretariat Kerajaan Perpaduan sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkuat kuasa 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi Mara disandang Azizah Muhd Dun sejak 1 Mei 2020 dan beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Beaufort.

Terdahulu tular di media sosial beberapa keping gambar yang mendakwa Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara baharu.