- Iklan -
Berita

Wajarkah gaji penjawat awam naik?

Penjawat awam berpendapat kenaikan tahunan yang diterima mereka masih dianggap rendah dan wajar disemak semula.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam ketika berehat untuk makan tengah hari di Presint 4, Putrajaya pada 24 November 2022. Gambar: Bernama
Penjawat awam ketika berehat untuk makan tengah hari di Presint 4, Putrajaya pada 24 November 2022. Gambar: Bernama

Ahmad Hakimi (bukan nama sebenar) sudah bekerja dengan kerajaan sejak 15 tahun lalu.

Bermula dengan gaji pokok RM821 sebulan untuk gred W17, pembantu tadbir kewangan di sebuah agensi kerajaan itu kini bergaji RM2262 sebulan dengan kenaikan tahunan sebanyak RM115 pada gred W22. 

Namun lelaki itu tetap terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup.

Katanya, kenaikan tahunan itu masih dianggap rendah dan wajar disemak semula.

"Ada penjawat awam yang gred 11 kenaikan tahunan masih lagi RM80 setahun," katanya kepada MalaysiaNow.

Hakimi mempunyai empat cahaya mata yang mana belanja makan, minum dan persekolahan mereka menelan kos yang besar.

"Isteri pula hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan purata RM1,500 sebulan. Saya lega sedikit sebab bina rumah sendiri dan tidak menyewa.

"Jika sewa, pasti terasa bebanan kos itu kerana gaji memang tidak mencukupi, dengan komitmen pinjaman kenderaan dan lain-lain," katanya.

Sebelum ini, presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat menggesa kerajaan menaikkan gaji penjawat awam bagi mendepani masalah kos sara hidup. 

Tiga tuntutan utama dibuat antaranya gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,800, dua tahap kenaikan gaji tahunan dan sistem saraan baru.

Perdana menteri yang juga menteri kewangan, Anwar Ibrahim pula memohon penjawat awam bersabar soal kenaikan gaji.

Ini kerana katanya tindakan itu perlu mengambil kira hutang negara yang mencecah RM1.8 bilion dan defisit perbelanjaan 5.6%.

Bagi Hakimi, tuntutan Cuepacs itu dianggap wajar, mengikut cabaran ekonomi semasa.

Kali terakhir tangga gaji kakitangan awam dipersetujui ialah pada 2002.

Sebagai rekod, kerajaan membelanjakan RM7 bilion sebulan kepada 1.6 juta penjawat awam.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati kira-kira 7% daripada 4,926 pekerja sambilan e-hailing merupakan penjawat awam.

Sementara itu, seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan berkata, meskipun beliau tidak terkesan kerana sudah berada pada tangga gaji dan selesa, beliau tidak dapat lari daripada bersimpati dengan kakitangan di bawahnya.

"Di pejabat saya ada macam-macam restoran yang mereka suka, tetapi apabila berbual, mereka cakap tidak mampu hendak beli.

"Kadang-kadang memang ada 'aura' yang tak menyeronokkan di pejabat jika poket mereka sudah 'kering'.”

Tidak kurang juga kakitangan yang akan membawa bekal dari rumah pada tengah bulan kerana ingin berjimat-cermat.

Rata-rata mereka juga mengeluarkan sebahagian besar gaji untuk menyewa rumah di sekitar pejabat agensi itu di Putrajaya yang mana kadarnya dianggap mahal berbanding kawasan lain.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari Institut Masa Depan Malaysia, Adriana Asmaa' Mohd Ezanee berkata sektor awam dan swasta harus dinaikkan gaji dan menerima sekurang-kurang gaji bermaruah yang bermula daripada RM2,500 bagi golongan bujang.

"Bagi meringankan beban yang dirasai apabila gesaan menaikkan gaji tidak boleh diutamakan, langkah yang harus diambil kerajaan adalah dengan penurunan kos harga barang mentah.

"Begitu juga dengan usulan mengenai model sistem persaraan perkhidmatan awam yang baharu oleh Cuepacs kerana sistem yang diguna pakai pada masa kini tidak bersesuaian dengan ekonomi semasa," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.