- Iklan -
Berita

Anwar pertahan kejatuhan nilai ringgit

Katanya, pengukuhan Dolar tidak menjejaskan hasil dan perbelanjaan kerajaan, namun memberi kesan kepada perbelanjaan makanan terutama import benih dan baja.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ringgit masih menunjukkan prestasi yang baik berbanding mata wang lain.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ringgit masih menunjukkan prestasi yang baik berbanding mata wang lain.

Perdana menteri Anwar Ibrahim berkata, nilai ringgit masih berada pada tahap yang lebih baik daripada mata wang lain, berbanding nilai Dolar Amerika.

"Walaupun (jatuh), tentunya (ringgit) lebih baik berbanding semasa kita ambil alih.

"Tetapi ketimbang mata wang Yen, Renmibi atau Rupiah, itu (ringgit) masih bertahan atau lebih baik," katanya ketika menjawab soalan daripada Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu).

Amzad ingin tahu mengenai kekuatan fiskal negara ekoran mata wang ringgit yang semakin melemah.

Mata wang ringgit turun mendadak kepada RM4.52 untuk satu Dolar Amerika beberapa hari lalu setelah naik kepada RM4.26 untuk satu Dolar pada Januari lalu.

Menurut Anwar, pengukuhan Dolar tidak menjejaskan hasil dan perbelanjaan kerajaan, namun memberi kesan kepada perbelanjaan makanan terutama import benih dan baja.

Amerika Syarikat baru-baru ini menaikkan kadar faedah mereka, setelah mengikatkan faedah beberapa kali sebelum ini, sekali gus menaikkan nilai Dolar Amerika berbanding mata wang lain.

Bank Negara turut menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) beberapa kali dan mengekalkan pada kadar 2.75% dalam satu pengumuman minggu lepas.

Amzad turut membangkitkan kejatuhan Bursa Malaysia yang menurun sebanyak 11 mata.

Dalam pada itu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata pertumbuhan ekonomi, meluaskan ekonomi pertanian, memperkenalkan cukai baru wajar menjadi antara keutamaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara.