- Iklan -
Berita

Azmin saran Selangor laksana pelan tindakan iklim secara meluas

Azmin berkata, PBT akan memainkan peranan penting memandangkan institusi ini bakal menjadi ejen pelaksana sekali gus menentukan kejayaan pelaksanaan dasar itu.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Adun Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) menyarankan kerajaan Selangor untuk menggerakkan Pelan Tindakan Iklim (CAP) secara meluas terutama di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya ia dapat dilaksanakan lebih konsisten dan teratur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali dari PN berkata, PBT akan memainkan peranan penting memandangkan institusi ini bakal menjadi ejen pelaksana sekali gus menentukan kejayaan pelaksanaan dasar itu.

Justeru, bekas menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada pimpinan PBT dalam memastikan mereka betul-betul faham mengenai CAP dan tindakan yang perlu diambil supaya dapat bersama mengurangkan kesan perubahan iklim.

"Kita akui Selangor adalah negeri maju, negeri industri tetapi bukan dengan mengorbankan aspek persekitaran dan masa depan negeri ini," katanya ketika berucap dalam sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

"Jika kita ada pelan tindakan yang dapat mencerakinkan atau menggariskan tindakan yang perlu diambil di semua peringkat, maka cara kehidupan kita, tindak-tanduk kita, cara bekerja dalam komuniti itu pastinya dapat mengurangkan kesan perubahan iklim yang sedang berlaku di seluruh dunia.”

Mengulas lanjut, Azmin turut menyarankan kerajaan negeri Selangor supaya memberi perhatian terhadap cadangan dikemukakan dalam Laporan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh digunakan PBT dalam menangani kesan perubahan iklim yang sedang berlaku.

Menurut Azmin, antara cadangan yang dikemukakan ialah pelaksanaan bangunan cekap tenaga ekoran pembangunan pesat di banyak daerah di negeri ini serta inisiatif ke arah pengangkutan awam berkarbon rendah.

Tambahnya, tidak cukup sekiranya kerajaan negeri sekadar memperkenalkan bas Selangorku kerana perlu ada pelan tindakan yang dapat melibatkan semua pengangkutan awam termasuk kenderaan di jabatan dan agensi kerajaan.

"Terdapat juga keperluan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui berbanding kebergantungan kepada bahan api fosil.

"Banyak industri di Selangor masih menggunakan bahan api fosil untuk menjana tenaga dala aktiviti perniagaan mereka.

"Bagaimana mungkin PBT dapat mengenakan syarat tertentu untuk memenuhi kehendak mengurangkan impak perubahan iklim ini jika tiada ada CAP yang dibentangkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Pada masa sama, Azmin turut menjelaskan keperluan untuk kerajaan negeri mempertimbangkan inisiatif pengurusan sisa mapan susulan populasi di Selangor semakin meningkat serta memperbanyakkan infrastruktur hijau dalam usaha mempromosi biodiversiti di Selangor.

"Ini hanya beberapa cadangan. Kalau boleh kerajaan dapat beri perhatian serius, bukan setakat tarik pelaburan dalam Selangor tetapi juga bagaimana pelaburan ini dapat menepati kehendak untuk meminimumkan impak perubahan iklim.

"Jika industri tidak memenuhi syarat-syarat tersebit, maka produk dan perkhidmatan tidak dapat dieksport kepada negara-negara maju," kata Azmin yang juga bekas menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri.