- Iklan -
Berita

Guna polis pertahan reputasi PM langgar undang-undang, kata kumpulan hak asasi

Lawyers for Liberty mengingatkan Anwar Ibrahim tentang bagaimana beliau dan PH disiasat polis ketika mereka menjadi pembangkang.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim di ibu pejabat polis Putrajaya, 13 Mac. Gambar: Bernama
Setiausaha Politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim di ibu pejabat polis Putrajaya, 13 Mac. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik laporan polis yang dibuat baru-baru ini terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan berunsur fitnah terhadap perdana menteri, menyifatkannya menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan untuk pemimpin kerajaan menggunakan pihak berkuasa bagi mempertahankan reputasi mereka.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata pemimpin kerajaan yang merasakan mereka difitnah boleh memfailkan saman kepada mahkamah sivil untuk membersihkan nama mereka.

“Dalam demokrasi kita, perdana menteri tidak mempunyai status istimewa di bawah undang-undang berbeza dengan rakyat biasa,” tambahnya.

"Adalah menyalahi undang-undang untuk beliau menggunakan polis untuk mempertahankan reputasinya."

Setiausaha politik kepada menteri kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim membuat laporan polis pada 13 Mac terhadap Muhyiddin, berhubung kenyataan mengenai perancangan pendakwaan terhadapnya serta campur tangan pihak atasan menggunakan agensi penguat kuasa bagi mencapai tujuan politik.

Beliau berkata laporan berkenaan dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin bersifat fitnah yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Zaid berkata adalah "melanggar undang-undang, bercanggah dengan Perlembagaan dan zalim" bagi Anwar atau mana-mana menteri kerajaan lain untuk "bergantung kepada jentera pihak berkuasa untuk menyekat sebarang ucapan yang 'menimbulkan persepsi negatif' terhadap kepimpinan mereka". 

Beliau juga mengingatkan Anwar tentang bagaimana Pakatan Harapan (PH) pernah disiasat polis berhubung kritikan mereka terhadap perdana menteri ketika itu Najib Razak.

"Adakah Anwar dan gabungan politiknya tidak belajar apa-apa daripada penganiayaan yang mereka hadapi ketika itu?" 

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan situasi itu sebagai "suatu perkara berbahaya" kerana tindakan serupa boleh diambil terhadap sesiapa sahaja yang menyatakan perbezaan pendapat terhadap kerajaan.

“Ini menjadikan hak kebebasan bersuara rakyat yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak bermakna dan membahayakan kebebasan awam kita,” tambahnya.

“Kami mengingatkan kerajaan bahawa polis berada di sini bukan untuk menjaga imej atau reputasi perdana menteri atau kerajaan yang dipimpinnya.

"Tugas mereka adalah untuk memastikan orang ramai selamat daripada jenayah dan mengekalkan ketenteraman awam.

“Kerajaan yang matang dan demokratik secara terbuka bertindak balas dan menjawab kritikan, bukannya cuba memenjarakan pengkritik."