- Iklan -
Berita

Kerajaan teliti potong gaji anak hantar ibu bapa ke rumah jagaan

Kepada mereka yang tidak berkemampuan, kerajaan menyediakan Institusi Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan bagi golongan warga emas yang memerlukan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Warga emas duduk dalam barisan sementara menunggu giliran untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Kuala Rompin, Pahang, 7 Disember 2022. Gambar: Bernama
Warga emas duduk dalam barisan sementara menunggu giliran untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Kuala Rompin, Pahang, 7 Disember 2022. Gambar: Bernama

Kerajaan sedang meneliti kesesuaian undang-undang terhadap golongan yang berkemampuan untuk menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan yang diuruskan kerajaan, dalam usaha memastikan kesedaran masyarakat terhadap kebajikan warga emas.

Timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah berkata tanggungjawab anak-anak menjaga dan menyantuni ibu bapa mereka.

"Kementerian menyambut baik cadangan untuk memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan atau rumah jagaan sekiranya anak-anak berkemampuan," katanya  pada sesi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan potongan gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa ke  pusat jagaan warga emas.

Bagi mereka yang tidak berkemampuan, Aiman berkata kerajaan menyediakan Institusi Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan bagi golongan warga emas yang memerlukan.

Ia dibiayai oleh kerajaan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni yang menetap di institusi.

Dalam pada itu, kerajaan menjalankan satu kajian untuk mewujudkan Akta Warga Emas untuk melindungi golongan itu yang mengandungi beberapa aspek.

Aiman berkata, akta itu antara lain melindungi hak asasi, memperkasakan warga emas, mewujudkan sistem sokongan untuk golongan itu dan  penjaga mereka.

"Usaha pewujudan kata ini merupakan salah satu langkah kementerian dalam menangani isu penuaan penduduk dengan pendekatan yang mengharmonikan semua pihak dan sebagai persediaan negara ke arah mencapai status negara tua pada tahun 2030.”