- Iklan -
Berita

Wee dedah terima panggilan 'Deepak', jual nama PMO dalam isu telur

Presiden MCA itu berkata, individu tersebut mendakwa dirinya mewakili syarikat J&E Advanced Tech Sdn Bhd, iaitu satu-satunya syarikat yang mendapat lesen mengimport telur dari India.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mendedahkan dirinya menerima panggilan semalam daripada seorang individu bernama “Deepak” berhubung isu import telur dari India yang diutarakan bekas menteri pengangkutan itu.

Presiden MCA itu berkata, individu tersebut mendakwa dirinya mewakili syarikat J&E Advanced Tech Sdn Bhd, iaitu satu-satunya syarikat yang mendapat lesen mengimport telur dari India.

"Beliau (Deepak) telah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan minta saya buat satu kenyataan, dan kita selesaikan di luar mahkamah.

"Saya tidak sebut nama syarikat kamu, nama kamu. Dia kata peguam telah diarahkan untuk buat writ saman," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa.

MCA merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan sebuah blog mempersoalkan kaitan Deepak Jaikishan dalam langkah mengimport telur dari India, dan menerbitkan gambarnya bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu sewaktu penerbangan mereka ke Chennai, India.

MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mohamad dan Deepak untuk mengesahkan gambar tersebut namun tidak berjaya.

Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.

Wee memaklumkan sudah menerima jaminan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul bahawa apa-apa ucapan yang dibuat oleh ahli Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat terlindung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ucapan beliau dicelah Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) yang mengulas mengenai penyalahgunaan nama PMO yang sepatutnya diketahui oleh Wee.

Wee berkata, beliau sudah memberitahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak bersetuju dengan keputusan mengimport telur.

"Saya rasa ini bukan arahan perdana menteri, ini orang pakai nama PMO.

“Ia tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Wee bulan lalu membawa tiga biji telur ayam ke dalam Dewan Rakyat bagi membanding harga dan kualiti telur.

Mohamad sebelum ini menyatakan kerajaan membuat keputusan mengimport telur dari India sebagai cara mengatasi masalah harga telur yang tinggi, meskipun negara merupakan antara pengeksport telur ayam terbesar di dunia. 

Namun hanya satu syarikat mempunyai AP untuk mengimport telur.

Menurut Mohamad, syarikat berkenaan mempunyai pengalaman membawa masuk telur ke Qatar ketika penganjuran Piala Dunia Fifa 2022.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lanjut terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja menyalahgunakan nama atau kedudukan pejabat itu bagi tujuan tertentu.

“Tindakan sedemikian adalah amat tidak bertanggungjawab sekali gus memberi dampak negatif kepada kredibiliti Pejabat Perdana Menteri dan institusi kerajaan”.