- Iklan -
Berita

Kekalahan anak Zahid, Najib dalam pemilihan Umno tidak mengejutkan, kata pemerhati

Mereka berkata parti politik secara umumnya kelihatan lebih mementingkan karakter calon berbanding keturunan keluarga.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Nurulhidayah Ahmad Zahid (dua dari kanan), anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang bertanding untuk jawatan ketua Wanita Umno Bagan Datuk dan exco Wanita Umno Pusat. Gambar: Bernama
Nurulhidayah Ahmad Zahid (dua dari kanan), anak perempuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang bertanding untuk jawatan ketua Wanita Umno Bagan Datuk dan exco Wanita Umno Pusat. Gambar: Bernama

Pengaruh keluarga tidak lagi memainkan peranan penting dalam menjamin kemenangan calon yang bertanding dalam pemilihan Umno kali ini, kata beberapa pemerhati politik.

Mereka berkata, kekalahan beberapa calon yang merupakan anak kepada tokoh berpengaruh tidak mengejutkan apabila trend pemilihan dalam kalangan ahli kini turut mengambil kira faktor karakter calon yang bertanding.

Mereka berpandangan, faktor ini semakin menjadi trend dalam Umno terutama selepas parti itu mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu.

Baru-baru ini, Nurulhidayah Ahmad Zahid, tewas dalam perebutan jawatan ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Datuk, kawasan yang diwakili bapanya, Ahmad Zahid Hamidi, namun meraih undi kedua terbanyak untuk jawatan exco Wanita Umno Pusat.

Sementara itu, dua anak bekas perdana menteri Najib Razak mengalami nasib berbeza apabila Nooryana Najwa berjaya mendapatkan kedudukan dalam exco Puteri Umno namun, Mohd Naziffudin pula tewas dalam pertandingan jawatan naib ketua Pemuda Umno.

Lebih ironi lagi, Rahayu Tajuddin, anak kepada bekas ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berjaya menewaskan ketua Wanita Umno Perak bagi jawatan ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Salak, meskipun keahlian bapanya sudah digantung.

Pemerhati politik veteran Zin Mahmud berkata, keputusan bercampur ini dipercayai didorong oleh sikap ahli Umno yang membuat pengundian berdasarkan dua pendirian, iaitu kelompok yang merupakan penyokong tegar individu dan juga kumpulan yang lebih menyokong perjuangan parti.

Menurutnya, keputusan ini juga mencerminkan bahawa individu berpengaruh seperti Zahid dan Najib semakin terancam dalam Umno ekoran prestasi mereka memimpin parti itu selain berdepan tuduhan kes di mahkamah.

"Ini menunjukkan mereka (calon daripada anak berpengaruh) tidak cukup matang," katanya kepada MalaysiaNow.

"Macam tiba-tiba nak bertanding. Tradisi dulu, memang ahli akan sokong tetapi sekarang Umno semakin berubah sebab bapa-bapa mereka pun tak jadi pemimpin cemerlang."

Dalam pada itu, Zin berpandangan, laungan Zahid bahawa pemilihan Umno kali ini akan mencerminkan transformasi parti juga tidak tepat selagi dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan.

"Satu lagi isu yang mencalarkan imej ialah apabila dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan," katanya.

“Dia (Zahid) kata nak buat transformasi tetapi sukar sebab yang paling di atas pun tidak bertukar."

Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata, keputusan pemilihan Umno tidak boleh disamakan dengan keputusan pilihan raya kerana ia adalah perkara yang berbeza.

Jelasnya, ini tidak menunjukkan rakyat Bagan Datuk menolak Nurulhidayah atau mencerminkan sokongan yang semakin suram terhadap Zahid, kerana pengundian ini hanya dalam kalangan ahli Umno dan tidak melibatkan masyarakat secara menyeluruh.

"Kekalahan ini tidak mengejutkan.

"Ini hanya menunjukkan hubungan kekeluargaan tidak menjamin kejayaan mana-mana individu untuk menang, sebaliknya bergantung kepada pengaruh dan kekuatan individu itu sendiri," katanya.

Tambahnya, perubahan pola pengundian ini juga sudah menjadi trend bukan saja dalam Umno tetapi parti politik lain.

"Dari satu sisi, ini memberikan indikasi bahawa kualiti individu menjadi pertimbangan berbanding pengaruh dan legasi kekeluargaan," kata beliau.