- Iklan -
Berita

Perumahan isu sensitif, mengapa lantik HDB Singapura, soal Shahidan

Shahidan Kassim mempersoalkan mengapa lantikan itu dibuat sedangkan Malaysia mempunyai Majlis Perumahan Negara yang boleh melihat isu tersebut bersama-sama dengan pihak kementerian.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara perumahan PPR Kerinchi di Pantai Permai, Pantai Dalam. Dianggarkan sebanyak 8,000 penduduk mendiami enam blok kawasan ini.
Pemandangan udara perumahan PPR Kerinchi di Pantai Permai, Pantai Dalam. Dianggarkan sebanyak 8,000 penduduk mendiami enam blok kawasan ini.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan peranan dan lantikan pakar dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HBD) Singapura untuk menyertai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menguruskan isu perumahan rakyat di Malaysia.

Shahidan Kassim (PN-Arau) berkata mengapa lantikan itu dibuat sedangkan Malaysia mempunyai Majlis Perumahan Negara yang boleh melihat isu tersebut bersama-sama dengan pihak kementerian.

"Majlis Perumahan Negara ini ditubuhkan tapi belum lagi dibawa ke Parlimen berhubung akta Majlis Perumahan Negara.

"Saya ingat, Yang Berhormat tubuhkan majlis dahulu dan HDB kalau nak, lantik sebagai konsultan.

"Bukan secara langsung (dalam KPKT)," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023 di peringkat dasar bagi kementerian berkenaan di Dewan Rakyat petang ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata isu pengurusan perumahan negara amat sensitif untuk didedahkan kepada syarikat dari negara luar kerana melibatkan demografi, kependudukan yang sememangnya tidak boleh dimaklumkan kepada pihak lain.

"Kita kena corakkan rancangan perumahan ini dengan cara kita sendiri."

Atas sebab itu, beliau mencadangkan supaya KPKT mengenal pasti masalah utama dalam isu perumahan negara dan sudah pasti jalan penyelesaiannya boleh dicari tanpa melibatkan pihak luar.

Katanya, beliau sudah membangkitkan perkara itu dalam persidangan Kamar Khas Parlimen hari ini dan sudah dijawab oleh pihak menteri.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan sekali lagi persoalan yang sama dengan harapan kementerian boleh memberikan penjelasan mengenainya sekali lagi. 

Terdahulu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi amaran tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang membuat tohmahan, fitnah dan cubaan menghasut rakyat susulan tindakannya membawa masuk pakar luar untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman berhubung isu perumahan.

Sebelum ini, Nga dilaporkan berkata kerajaan Singapura bersetuju menghantar beberapa pakar HDB bulan depan untuk berkongsi pengalaman dengan Malaysia.

Katanya ini termasuk jemputan dalam sesi seminar dan bengkel bagi mendapatkan ilmu dan pengetahuan serta berkongsi kepakaran dalam bidang perumahan.