- Iklan -
Berita

Shahidan tegur menteri, timbalan jawab soalan sambil lewa

Beliau berkata, sekiranya mana-mana pihak membuat sesuatu perkara secara ikhlas, bukannya atas dasar retorik politik semata-mata ianya pasti akan membuahkan hasil seperti yang diinginkan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dari Perikatan Nasional (PN) hari ini menegur menteri dan timbalan menteri supaya tampil lebih bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam menjawab pertanyaan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Ketika membahaskan Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa, Shahidan menyifatkan jawapan yang diberikan oleh para menteri dan timbalan menteri amat ditunggu-tunggu oleh rakyat yang mahukan penjelasan segera mengenai masalah yang mereka hadapi.

Shahidan berkata, sekiranya mana-mana pihak membuat sesuatu perkara secara ikhlas, bukannya atas dasar retorik politik semata-mata ianya pasti akan membuahkan hasil seperti yang diinginkan.

"Rakyat nak tengok pelaksanaan.

"Macam saya tanya tentang kos sara hidup, bukan boleh jawab hanya baca lepas tu habis.

"Dia (timbalan menteri) kena beritahu secara terperinci bahawa kos sara hidup akan diturunkan macam ini dan macam ini, supaya mereka berpuas hati," katanya merujuk kepada sesi pertanyaan jawab lisan beliau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini.

Shahidan membangkitkan soalan apakah peranan dan pencapaian terkini Majlis Tindakan Sara Hidup Negara kerana kos sara hidup dilihat semakin menekan rakyat. 

Soalan tersebut dijawab oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Bagaimanapun beberapa persoalan yang dibangkitkan tidak dapat dijawab secara lisan dan mohon diserahkan jawapan secara bertulis.

Fuziah sebelum ini pernah memegang jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tewas di Parlimen Kuantan pada PRU15.

Beliau kemudian dilantik sebagai senator dan diangkat menjadi timbalan menteri dalam kerajaan. 

Bercakap lebih lanjut, Shahidan menegaskan pemberian jawapan secara bertulis sebagai satu tindakan yang tidak betul dan menunjukkan bahawa menteri atau timbalan menteri tidak serius terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan oleh wakil rakyat. 

"Orang-orang muda, tengok bagaimana mereka bagi jawapan?

"Tak betul. Dia kena serius."