- Iklan -
Berita

Persoalan berhubung peranan kerajaan ketika sektor swasta tunjangi projek mega

Dari Menu Rahmah hingga ke projek HSR KL-Singapura, berapa persoalan dibangkitkan termasuk wajarkan membiarkan sektor swasta menerajui projek berskala besar kerajaan?

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kedai makanan menawarkan hidangan Menu Rahmah dengan harga bawah RM5 di sebuah pasar raya di Subang, Selangor.
Sebuah kedai makanan menawarkan hidangan Menu Rahmah dengan harga bawah RM5 di sebuah pasar raya di Subang, Selangor.

Pakar membincangkan kebaikan dan keburukan penglibatan sektor swasta dalam program berskala besar seperti inisiatif Menu Rahmah untuk makanan mampu milik dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang bertujuan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Malaysia secara tradisinya mengambil pendekatan "kerajaan besar" untuk perkara sedemikian, dengan Putrajaya secara aktif menjalankan perniagaan melalui syarikat berkaitan kerajaan.

Bagaimanapun di bawah Menu Rahmah, yang mana makanan dijual pada harga serendah RM5, kedai yang mengambil bahagian perlu menanggung kos menyediakan makanan itu sendiri, secara sukarela tanpa campur tangan kerajaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang menerajui inisiatif itu baru-baru ini berkata pihaknya sedang membincangkan pemberian insentif kepada pengusaha kedai makanan yang menyediakan hidangan Menu Rahmah kepada pelanggan.

Sementara itu, pengkritik terus menyatakan keraguan tentang kemampanan program itu, dengan beberapa restoran juga mengatakan mereka tidak dapat menampung kos operasi tanpa bantuan luar.

Pakar ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff berkata sektor swasta akan terus mengambil bahagian dalam inisiatif Menu Rahmah selagi ia boleh meraih sedikit faedah, sambil menambah bagaimanapun ia memerlukan sokongan kerajaan dari segi promosi.

"Kerajaan mesti terus mempromosi dan menyokong inisiatif itu serta memastikan perniagaan swasta dan orang ramai terus mendapat manfaat daripada program sedemikian," kata Razman dari Putra Business School.

Penganalisis Adilah Zafirah dari badan pemikir Iris Institute senada dengan Ramzan.

Beliau berkata walaupun Menu Rahmah bergantung kepada penyertaan secara sukarela, ia juga merupakan pemasaran yang baik untuk kedai makanan yang mengambil bahagian.

"Tetapi beberapa perniagaan kecil memohon subsidi kerana ia tidak mampan untuk mereka," tambahnya.

Dari segi projek infrastruktur, Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru-baru ini berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan semula projek HSR yang dibatalkan pada Januari tahun lepas selepas Malaysia dan Singapura gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Beliau berkata Putrajaya terbuka kepada cadangan berhubung perkara itu selagi projek itu tidak dibiayai oleh kerajaan.

“Kami terbuka kepada sebarang cadangan daripada pihak swasta selagi ia tidak dibiayai oleh kerajaan,” katanya.

Mengulas kenyataan Loke, Adilah berkata kerajaan sudah pun menanggung beban kewangan yang berat.

"Sejak 1998, perbelanjaan kita melebihi pendapatan," katanya.

"Walaupun kerajaan mahu melabur dalam infrastruktur, namun ada kekangan."

Bagaimanapun menyentuh soal penglibatan sektor swasta ia mencetuskan kebimbangan, antara lain berkenaan tanda harga yang akan ditetapkan sama ada ia berpatutan atau tidak.

KLIA Express misalnya yang dikendalikan oleh YTL Corporation Bhd menawarkan tiket berharga RM55 untuk perjalanan sehala.

"Sektor swasta, sudah tentu, mengharapkan pulangan ekonomi," kata Adilah.

Razman dalam pada itu menekankan faktor yang tidak dapat diselesaikan dalam projek rel seperti pengguna sasarannya, hubungan dengan KLIA serta pengurusan rel dan darat di kedua-dua negara.

"Sekiranya sektor swasta dapat menyelesaikan isu ini, kerajaan harus menyokong pelaburan swasta," katanya sambil menambah ia akan mengelakkan kos pembiayaan yang tinggi.

“Tiada isu sama ada harga tiket mahal atau tidak kerana terdapat banyak pilihan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.