- Iklan -
Berita

Petronas tawar AS$460 juta beli kepentingan cabang tenaga hijau NTPC India

Perjanjian itu adalah kali pertama sebuah syarikat milik kerajaan India itu menawarkan kepentingan dalam cabang tenaga boleh diperbaharui.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menara Berkembar dilihat di belakang logo Petronas di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2014. Gambar: AFP
Menara Berkembar dilihat di belakang logo Petronas di sebuah stesen minyak di Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2014. Gambar: AFP

Petronas menawarkan 38 bilion rupee atau AS$460 juta (kira-kira RM2.06 bilion) untuk membeli 20% kepentingan cabang tenaga hijau bagi syarikat pengeluar tenaga terbesar India, NTPC, dalam perjanjian pertama seumpamanya itu, tiga sumber memberitahu Reuters. 

Harga tawaran lebih tinggi berbanding 30 bilion rupee berdasarkan jangkaan awal NTPC apabila syarikat petroleum negara itu menyatakan hasrat terhadap NTPC Green Energy (NGEL) tahun lepas dan 78% melebihi pembida kedua tertinggi. 

Ia menilai NGEL pada $2.3 bilion. 

NTPC dan Petronas bagaimanapun belum memberi sebarang penjelasan mengenai perkara itu. 

Sumber enggan namanya didedahkan kerana perjanjian itu masih belum dimuktamadkan.

Perjanjian itu kali pertama sebuah syarikat milik kerajaan India itu menawarkan kepentingan dalam cabang tenaga boleh diperbaharui dan dibuat ketika sektor berkenaan menarik pelaburan asing yang semakin meningkat.

Tenaga boleh diperbaharui adalah antara lima industri teratas India bagi dana luar negara pada tahun fiskal ini, mengambil bahagian 5% daripada semua aliran masuk bermula April hingga September 2022 berbanding 3.3% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, demikian menurut data daripada kementerian perdagangan India.

Petronas mengatasi firma tempatan lain untuk meraih kepentingan itu dengan tawaran 27.52 rupee sesaham, kata seorang pegawai kerajaan, sumber industri dan seorang jurubank. 

Pembida kedua tertinggi, REC Ltd, menawarkan 15.47 rupee sesaham, manakala Indraprastha Gas Ltd (IGL) meletakkan bidaan sebanyak 6.67 rupee sesaham, kata jurubank itu. 

REC dan IGL juga belum mengeluarkan sebarang maklum balas.

NTPC merancang untuk menggunakan hasil jualan untuk mengembangkan perniagaan bukan fosilnya.

Syarikat itu memperuntukkan pelaburan lebih $30 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk meningkatkan bahagian tenaga bukan fosil dalam portfolionya kepada 45% berbanding hanya 9.41% ketika ini.

Syarikat itu komited untuk menambah 60 gigawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang 2032 pada jumlah kapasiti kumpulan 130 gigawatt pada tarikh tersebut.

NGEL akan memacu perniagaan bukan fosil syarikat induk itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.