- Iklan -
Berita

Penumpang rayu AirAsia jangan ‘musnahkan’ rancangan Aidilfitri

Mohd Dahlan Mohd Noor, yang merancang untuk pulang ke kampung halaman bersama isteri dan anak lelakinya, kini hanya akan tiba pada hari raya pertama.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pesawat AirAsia berada di ruang pelepasan bagi menjalani pemeriksaan akhir sebelum berlepas ke destinasi di klia2 di Sepang.
Pesawat AirAsia berada di ruang pelepasan bagi menjalani pemeriksaan akhir sebelum berlepas ke destinasi di klia2 di Sepang.

Seorang penumpang AirAsia hanya mampu meluahkan rasa kecewa apabila tiket penerbangan yang dibeli untuk pulang ke halaman kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dibatalkan dan ditukar kepada tarikh baru tanpa mendapat persetujuannya.

Mohd Dahlan Mohd Noor, merancang untuk pulang ke Kota Bharu, Kelantan bersama isteri dan anak lelakinya pada 19 April depan dan sudah menempah tiket daripada syarikat penerbangan tambang murah pada harga RM141.96.

Berdasarkan tiket penerbangan yang dikongsi, beliau membuat tempahan itu seawal 23 April tahun lalu.

Bagaimanapun, Dahlan menerima satu notis e-mel daripada AirAsia pada 8 Mac lalu memaklumkan penerbangan dua hala itu dibatalkan dan ditukar kepada 22 April depan iaitu tarikh yang dijangka umat Islam akan menyambut Hari Raya Pertama.

Katanya, alasan yang diberikan AirAsia ialah "isu operasi".

"Kami beli tiket (bertarikh) 19 April sebab nak pulang awal supaya boleh membuat persiapan sewajarnya," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ini tiba-tiba tukar kepada 22 April. Maknanya kami akan sampai kampung petang pada Hari Raya Pertama. Tak masuk akal.”

Menurut Dahlan, walaupun diberikan pilihan untuk mengubah tarikh penerbangan tanpa sebarang bayaran, dia masih tidak berpuas hati memandangkan AirAsia tiada penerbangan lain dalam tempoh 19 April hingga 21 April.

Malah, sekiranya dia ingin membeli tiket penerbangan baru bersama syarikat penerbangan lain, ini akan menelan kos antara RM3,000 hingga RM4,000.

Menurut Dahlan, dia masih belum memohon bayaran balik daripada AirAsia kerana sedang memikirkan pilihan alternatif untuk pulang ke Kota Bharu sebelum 22 April.

Selain daripada penerbangan itu, Dahlan juga membeli tiket penerbangan ke Kota Kinabalu yang mana sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) lebih empat jam daripada penerbangan pulang dari Kota Bharu pada 24 April depan.

Ini akan memberikan masa kepada Dahlan untuk mendaftar masuk bagasi dan berehat seketika sebelum menaiki penerbangan seterusnya.

"Tetapi saya dimaklumkan bahawa waktu penerbangan ini ditukar yang mana ia diawalkan kepada pukul 6.35 petang.

"Ini bermakna saya mempunyai masa kurang daripada tiga jam. Pastinya saya akan terkejar-kejar untuk menyelesaikan segala proses yang perlu dilalui sebelum dibenarkan ke penerbangan itu," tambah beliau.

Tahun lalu, MalaysiaNow turut menceritakan pengalaman pahit yang terpaksa dilalui Yadawwiyah Samani apabila terpaksa menyambut hari raya pertama dalam kereta apabila anaknya, Abdullah Aiman Abdul Ghaffar tidak dapat menaiki penerbangan untuk pulang ke Johor dari Kuala Lumpur.

Situasi itu menyebabkan Yadawwiyyah yang sedang menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, memandu hingga ke klia2 untuk menjemput anaknya sebelum meluahkan kemarahan kepada petugas AirAsia di situ.

Ketika dihubungi MalaysiaNow baru-baru ini, Yadawwiyah mengesahkan sehingga ke hari ini masih belum menerima bayaran balik berjumlah RM104 bagi pembelian tiket penerbangan yang dijadualkan berlepas pada 2 Mei tahun lalu itu.

"Belum dapat. Nampaknya 'burn' duit itu. Mujur jumlahnya tidak begitu besar.

"Saya kasihan kepada penumpang yang sudah berbelanja sehingga ribuan ringgit tetapi masih belum dapat duit mereka.

"Ini cara berniaga yang sangat tidak beretika," tambahnya.

MalaysiaNow sudah menghubungi untuk mendapatkan penjelasan AirAsia dan masih menunggu maklum balas daripada syarikat penerbangan tambah murah itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.