- Iklan -
Berita

Kerajaan Anwar diktator, zalim, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu turut meluahkan rasa terkilan terhadap kerajaan yang berat sebelah dalam isu rasuah kerana hanya menumpukan siasatan terhadap parti lawan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditemani isterinya yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail tiba di bangunan Parlimen Malaysia bagi menghadiri mesyuarat pertama sidang pertama Parlimen ke-15.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditemani isterinya yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail tiba di bangunan Parlimen Malaysia bagi menghadiri mesyuarat pertama sidang pertama Parlimen ke-15.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim adalah kerajaan diktator dan zalim kerana tidak membenarkan orang ramai terutama parti lawan yang mengkritik atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran semasa.

Bekas perdana menteri itu turut mengingatkan tindakan Anwar semasa tidak bersama kerajaan sebelum ini adalah jauh lebih teruk apabila selalu mengadakan demonstrasi hingga menyebabkan kerosakan harta benda.

"Rakyat Malaysia berhak menegur kerajaan, tetapi kerajaan ini bukan setakat tak bagi tegur, jika parti lawan (siap) nak ambil tindakan, nak tangkap, nak masuk penjara dan sebagainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Putra di Kuala Lumpur hari ini.

"Ini supaya pilihan raya akan datang tiada parti lawan, cuma ada parti kerajaan dan boleh menang tanpa bertanding."

Ulasan beliau hadir dua hari selepas Anwar memberi amaran tentang penguatkuasaan penuh undang-undang terhadap mereka yang didakwanya cuba mencetuskan keadaan huru-hara di negara ini.

Pada masa sama, Mahathir turut meluahkan rasa terkilan terhadap kerajaan yang berat sebelah dalam isu rasuah kerana hanya menumpukan siasatan terhadap parti lawan.

Dakwanya, ini antara sebab mengapa orang ramai tidak dibenarkan mengkritik atau menegur kerana rakyat sedar terdapat juga parti dalam kerajaan yang terlibat dengan rasuah.

"Seolah-olah mereka tidak terlibat dengan rasuah. Sebaliknya kita tahu mereka juga terlibat dengan rasuah.

"Bukan main hero lagi (dulu) nak lawan dengan rasuah, tetapi tidak mahu lawan dengan diri sendiri.

“Sebab diri sendiri pun terlibat dengan rasuah. Sebab itu kerajaan tak benar ditegur oleh sesiapa," katanya.

Mahahtir turut membidas tuduhan beliau memperkayakan anak-anaknya ketika memegang jawatan perdana menteri dan mencabar supaya kerajaan mengemukakan bukti.

Katanya, sekiranya tiada bukti, beliau berhak mengambil tindakan sewajarnya.

"Jika ada bukti sila tunjuk. Anak saya, saya tak bagi masuk politik.

"Ini bukan saja individu, (tetapi) isteri, anak semuanya dapat layanan istimewa.

“Inilah kerajaan kita lihat sekarang dan saya berharap rakyat akan sedar dan bukan ikut cerita-cerita yang tidak benar," tambah beliau.