- Iklan -
Berita

Anwar mahu singkirkan pemimpin pembangkang menjelang PRN, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa terdapat unsur perkauman dalam pembatalan acara 'Proklamasi Melayu' baru-baru ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad

Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menyerang bekas anak didiknya Anwar Ibrahim, dengan mempersoalkan siri tindakan diambil terhadap pemimpin pembangkang yang menyaksikan Muhyiddin Yassin, yang bersama beliau mengasaskan Bersatu, disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dikenakan tuduhan jenayah.

“Setakat ini kempen anti-rasuah menjurus kepada pemimpin pembangkang. Mereka dalam kerajaan yang terlibat dengan rasuah tidak disiasat.

"Ini menunjukkan kempen itu adalah mengenai penyingkiran pemimpin pembangkang supaya tidak ada penentangan terhadap kerajaan dalam pilihan raya negeri (PRN)," katanya sehari selepas beliau menggelar Anwar sebagai diktator yang selama ini cuba mendiamkan perbezaan pendapat terutama oleh mereka yang membincangkan tentang hak orang Melayu.

Mahathir dalam kenyataan kedua susulan pembatalan mengejut majlis “Proklamasi Melayu” di Kuala Lumpur semalam, yang sepatutnya menampilkan beliau, berkata tindakan menyekat program itu juga bersifat "perkauman" kerana ia menafikan hak orang Melayu.

"Larangan ke atas orang Melayu membincangkan masalah mereka dan mencari jalan untuk mengatasinya adalah paling tidak demokratik dan anti-Melayu. Itu adalah perkauman," katanya.

Sebaliknya, Mahathir berkata, kerajaan sepatutnya tidak mempunyai masalah mengenai perbincangan berpaksikan "multiracialism" dan "multireligion" kerana mereka "memihak kepada kaum lain".

"Ini juga perkauman," tambahnya.

Anwar baru-baru ini berikrar mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwanya membangkitkan sentimen perkauman, sambil menambah bahawa agensi berkaitan diarahkan untuk menggunakan kuasa mengikut undang-undang untuk menamatkan "retorik perkauman dan agama".

Ini disusuli Mahathir yang mendakwa program "Proklamasi Melayu" terpaksa dibatalkan selepas pihak penganjur dimaklumkan oleh pihak pengurusan hotel bahawa ia tidak boleh diadakan.

Mahathir berkata beliau percaya Anwar merupakan dalang di sebalik pembatalan itu.

"Daripada ucapan-ucapannya sebelum ini, saya pasti dia (Anwar) di sebalik halangan ini untuk tutup mulut pengkritik kerajaan," katanya semalam.

Mahathir hari ini mempersoalkan mengapa acara itu menjadi sasaran.

"Sebenarnya kerajaan tidak tahu apa yang akan diperkatakan pada perhimpunan itu. Malah deklarasi itu tidak menyalahkan kaum lain," katanya sambil menambah penganjur acara itu turut mengecam pemimpin Melayu yang korup.

Akan tetapi beliau berkata masalah yang dihadapi oleh orang Melayu adalah benar.

"Adalah jelas bahawa jika masalah ini tidak ditangani sekarang ia akan menjadi lebih teruk. Kerajaan tahu tentang ini," tambahnya.