- Iklan -
Berita

Pembangkang Johor kini guna istilah ‘pengimbang’

Speaker DUN Johor berkata ini selaras dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berucap di Dewan Undangan Negeri Johor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berucap di Dewan Undangan Negeri Johor. Gambar: Bernama

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kini menggunakan istilah pengimbang bagi merujuk semua Ahli DUN Johor pembangkang, menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Khamis lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Speaker DUN Johor Mohd Puad Zarkashi sebelum sesi soal jawab pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri.

“Sebagaimana yang telah dimulakan oleh Adun Machap (Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi) semalam, kita akan menggunakan istilah pengimbang, lebih murni, lebih tepat, lebih komprehensif dan lebih futuristik untuk mewujudkan DUN yang lebih berwibawa.

“Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih,” kata beliau pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, hari ini.

Pada titah perasmian pembukaan, Sultan Ibrahim menitahkan supaya wakil rakyat pembangkang di Johor digelar sebagai pengimbang berikutan peranan mereka yang disifatkan sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

Menurut Sultan Johor gelaran pembangkang yang diberikan kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan sebagai kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

Baginda bertitah mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.