- Iklan -
Berita

Peniaga burger berdepan saingan syarikat besar disebabkan Menu Rahmah

Mereka tidak dapat bersaing dengan makanan lebih murah yang ditawarkan pemain industri terkenal.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Restoran Abang Roti dan warung burger yang terletak di Jitra.
Restoran Abang Roti dan warung burger yang terletak di Jitra.

Pengenalan Menu Rahmah pada Januari memberikan penangan kepada restoran dan gerai, apabila pemain industri yang lebih besar menyertai program itu, sekali gus menjadi pesaing kepada peniaga-peniaga kecil.

Menu Rahmah, yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub membabitkan kira-kira 15,000 premis menjual makanan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Mohd Johar M Jaffar, pemilik sebuah restoran makanan barat di Sungai Buloh, Selangor berkata, restorannya menyaksikan pengurangan signifikan dari segi jualan dan jumlah pelanggan.

"Sekarang apabila 'big player' industri turut serta, orang ramai lebih gemar memilih mereka kerana murah. 

“Peniaga kecil seperti saya tiada bajet besar untuk membuat pemasaran," katanya.

Menurut Johar yang bermula dengan berniaga burger dengan gerai di tepi jalan berkata, pemain industri yang terkenal dan mempunyai banyak rangkaian juga mampu mendapatkan barangan mentah dengan harga pukal yang lebih murah, justeru mengurangkan kos mereka.

Johar berkata, restorannya tidak mampu untuk menawarkan Menu Rahmah setelah mengambil kira kos operasi yang tinggi termasuk bayaran kakitangan.

"Secara realitinya, Menu Rahmah hanya mampu dapat bertahan tiga bulan seperti yang diberitahu oleh bos Mydin, Ameer Ali Mydin baru-baru ini jika tiada perubahan dari segi barangan mentah," katanya.

Seruan Menu Rahmah disahut oleh beberapa jenama makanan segera terkenal antara McDonalds, Marrybrown Burger King dan A&W.

Syarikat-syarikat itu menawarkan pilihan seperti sebiji burger dan segelas atau sebotol air minuman pada harga RM5.

Nordin Mat, pengasas rangkaian GTR Burger turut mengakui Menu Rahmah yang ditawarkan jenama-jenama besar itu merupakan satu persaingan yang tidak sihat untuk peniaga burger jalanan.

"Kebiasaannya, menu mereka sama ada ala carte atau kombo mempunyai margin keuntungan yang sangat besar.

"Bagi Menu Rahmah, mereka sanggup kerugian tetapi menggunakannya sebagai pemasaran semata-mata bagi menarik perhatian masyarakat," katanya.

GTR Burger mempunyai lebih 300 gerai di seluruh negara.

Nordin berkata, syarikatnya memilih untuk tidak bersaing dengan Menu Rahmah oleh syarikat makanan segera lain.

"Malah, kita akan naikkan harga jika bahan mentah naik harga," katanya.

Tinjauan di laman sosial mendapati, rata-rata peniaga burger tertekan dengan harga barangan mentah seperti “patty” dan roti burger yang bakal dinaikkan harga oleh pembekal.

Sementara itu, seorang peniaga burger jalanan di Shah Alam yang tidak mahu dinamakan berkata, peningkatan kos barangan mentah itu mengakibatkan ramai memilih untuk cermat dalam berbelanja.

Ia mengakibatkan penurunan jumlah pelanggan yang ketara.

Dia juga berharap agar kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

"Dahulu ketika kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP, harga barang naik tetapi pembeli mempunyai kuasa membeli.

"Jualan meningkat dan saya mampu serap kenaikan kos.

“Sebaliknya kini, jualan menurun dengan ketara," katanya.