- Iklan -
Berita

KPM cadang wajibkan pendidikan peringkat sekolah menengah

Pada masa ini hanya pendidikan peringkat sekolah rendah diwajibkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman menyiapkan tugasan di pondok rehat dengan lengkap memakai pelitup muka di Petaling Jaya, 16 Jun 2022.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman menyiapkan tugasan di pondok rehat dengan lengkap memakai pelitup muka di Petaling Jaya, 16 Jun 2022.

Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menyerahkan draf cadangan kepada pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata ia adalah komitmen kementerian untuk memastikan tiada anak-anak yang tercicir pendidikan sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

“Ketika ini, berdasarkan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Akta Pendidikan 1996 hanya setakat Darjah 6 sahaja. Tetapi (menerusi) komitmen KPM, kita panjangkan dan sebar luaskan (perkara ini),” katanya pada sesi soal jawab lisan.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator R. Nelson yang ingin tahu bilakah KPM akan mewajibkan pelajaran di peringkat sekolah menengah untuk memastikan pelajar tidak tercicir selepas tamat sekolah rendah.

Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun dan sekiranya gagal, ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Fadhlina berkata ketika ini KPM mengambil pendekatan untuk menangani perkara itu dengan mengadakan program Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.

Beliau berkata program K9 adalah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 3, manakala K11 akan memastikan anak-anak akan terus berada di sekolah daripada Darjah 1 hingga Tingkatan 5.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.