Pengaruh dan populariti seseorang pemimpin atau ahli politik bukanlah jaminan sambutan “box office” terhadap filem mengenainya, kata seorang pemain industri.
Pengarah filem dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop berpandangan filem-filem seperti ini biasanya mendapat sambutan suram di Malaysia disebabkan kegagalan pembikinnya menampilkan watak yang realistik selain jalan cerita tidak berkembang.
Katanya, sifat yang tidak realistik itu merujuk kepada ketiadaan "sisi gelap" watak yang diceritakan sekali gus menyebabkan individu dipamerkan itu sebagai seorang yang terlalu luar biasa daripada sifat seorang manusia biasa.
Jafree, penulis filem "Paloh" (2003) dan "Dukun" (2018), berkata faktor ini secara tidak langsung "membunuh" elemen drama yang akhirnya mengurangkan daya tarikan filem tersebut.
"Kita selalu mempamerkan tokoh-tokoh ini macam luar biasa, lari daripada sifat seorang manusia seperti tiada salah atau sisi gelap," katanya kepada MalaysiaNow.
"Ibarat malaikat, semua dia (watak) buat betul."
Filem mengenai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim "Anwar: The Untold Story" akan mula disiarkan di pawagam seluruh negara bermula Mei depan yang mengisahkan perjalanan politiknya sejak dibawa masuk Umno pada 1982 oleh Dr Mahathir Mohamad sehingga dipecat pada 1998.
Usaha mempromosi filem lakonan Farid Kamil itu kini sedang giat dijalankan dengan treler sudah boleh ditonton di media sosial.
Namun begitu, antara persoalan yang timbul ialah sama ada filem ini akan mampu mengatasi prestasi filem lain atau berjaya mengutip kutipan hasil tinggi memandangkan filem-filem yang berunsurkan politik atau menceritakan kisah tokoh politik sebelum ini kebanyakannya gagal.
Contoh terbaik ialah Tanda Putera yang menceritakan persahabatan antara perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein dengan timbalannya, Ismail Abdul Rahman.
Walaupun, dua individu terbabit merupakan antara tokoh yang banyak berjasa kepada negara, filem arahan Shuhaimi Baba yang menelan kos RM4.8 juta itu dilaporkan gagal mendapat sambutan.
Selain itu, "Rise: Ini Kalilah", filem drama politik Malaysia pada 2018 yang diilhamkan daripada kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) turut dilaporkan gagal pecah panggung selain mendapat beberapa kritikan negatif daripada pengkritik filem.
Ditanya sama ada filem politik sememangnya tiada daya tarikan, Jafree tidak bersetuju dengan pandangan itu dan menggunakan contoh filem Abraham Lincoln terbitan Steven Spielberg yang menceritakan kisah presiden Amerika Syarikat ke-16 itu.
Menurut Jafree, filem itu berjaya menampakkan Lincoln sebagai seorang manusia biasa yang turut berdepan masalah peribadi seperti isu kemurungan dan masalah rumah tangga, malah pada satu tahap, tidak yakin dengan perjuangannya sendiri.
"Di sini membuktikan Lincoln tidak beza daripada manusia biasa dan elemen ini dapat menghubungkan penonton dengan watak itu.
"Saya rasa itu adalah masalah utama dalam penceritaan kita. Tidak berani untuk tunjukkan sisi gelap individu tersebut sama ada dia adalah seorang hebat atau tidak.
"Dalam penceritaan, ini perlu kerana ia akan tambah elemen drama bagi filem tersebut," katanya yang juga penulis dan pengarah filem “Mencari Rahmat” ditayangkan pada 2007.
Mengulas mengenai jangkaan sambutan bagi filem Anwar, Jafree berpandangan ia tidak semestinya akan disumbangkan oleh pengaruh politik semata-mata sebaliknya bergantung kepada "word-of-mouth" daripada penonton awal.
"Lagi ramai kata filem itu bagus, maka lagi ramai akan datang tengok.
“Jika tidak, maka sambutan akan suram.
"Reaksi ini memang biasa dan juga dapat dilihat pada filem-filem lain," tambahnya yang pernah menjadi penulis skrip teater muzikal P Ramlee pada 2014.