Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu, kata setiausaha agungnya, Hamzah Zainudin hari ini.
Hamzah dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 20 Mac yang dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin.
Majlis itu juga memutuskan untuk mengekalkan penggunaan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Lambang parti PAS di Kelantan serta Terengganu,” kata Hamzah.
“Majlis tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi.”
Permohonan Pejuang dibuat beberapa hari selepas pengasasnya yang juga bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, keluar parti untuk menyertai Putra yang diketuai bekas pemimpin Umno Ibrahim Ali.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata beliau sudah menghantar surat permohonan kepada Muhyiddin serta Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan Dominic Lau bagi menjelaskan mengapa Pejuang harus diterima dalam kumpulan mereka.
Katanya, antara lain Pejuang mahu memastikan tidak berlaku perpecahan undi Melayu dalam enam PRN akan datang.
“Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN.
“Sudah tentu, ini bermakna kerjasama Pejuang dengan PN tidak terhad kepada pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada Jun 2023, tetapi juga untuk jangka panjang,” kata Mukhriz.
Pada pilihan raya umum lalu, Pejuang meletakkan kira-kira 60 calon di bawah gabungan Gerakan Tanah Air.
Kesemua calon gabungan itu hilang wang deposit termasuk Mahathir, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pejuang Amiruddin Hamzah melahirkan rasa kesal dengan keputusan tersebut sambil mengulangi pendirian parti itu yang akan terus mempertahankan kedaulatan undang-undang dan memikul mandat perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Dengan itu, Pejuang akan terus menggerakkan jentera di kawasan-kawasan tertentu untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri akan datang,” katanya.