- Iklan -
Berita

Risiko minima, kata Anwar pertahan langkah jadikan KWSP cagaran bank

Katanya, kepentingan pencarum yang mencagarkan simpannya dari segi pemberian dividen tetap akan diteruskan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan cagaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada bank tidak membawa risiko yang besar kepada pencarum.

Katanya, kepentingan pencarum yang mencagarkan simpannya dari segi pemberian dividen tetap akan diteruskan.

"Dividen diberi penuh ikut kumpulan asal. Dalam beberapa tahun, pulangan itu dapat diperoleh.

“Kalau sejumlah kecil gagal (bayar pinjaman), ia  tidak memberi kesan yang parah kerana jumlah induk (simpanan) dan dividen sudah ditambah.

"Potongan (wang) diambil dari dividen," katanya ketika menjawab soalan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar).

Muslimin ingin tahu sama ada perdana menteri mendapat nasihat perundangan sebelum membenarkan cagaran dibuat, serta kaedah pengurusan risiko sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang mereka.

Sebelum ini Anwar yang juga menteri kewangan memberitahu tindakan mencagarkan wang KWSP tidak melanggar Seksyen 51 Akta KWSP.

Katanya, ia dimaklumkan sendiri oleh badan itu serta nasihat daripada Peguam Negara Idrus Harun.

Dalam pada itu, katanya cagaran tersebut bukan satu-satunya tindakan kerajaan dalam membantu golongan susah di negara ini.