- Iklan -
Berita

Rosmah dapat kembali pasportnya, berlepas ke Singapura 23 Mac

Peguamnya berkata, dia akan berada di republik itu selama enam minggu untuk melawat anak perempuan dan cucunya yang tidak sihat, di samping menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor (tengah) ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 3 Mac. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor (tengah) ketika meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 3 Mac. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk pelepasan sementara pasportnya bagi membolehkan dia berlepas ke Singapura untuk melawat anak perempuannya dan seorang daripada cucunya yang tidak sihat.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada hakim Kamaludin Md Said, Hadhariah Syed Ismail dan Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn tidak membantah permohonannya.

Hakim Kamaludin berkata memandangkan tiada bantahan oleh pihak pendakwaan terhadap permohonan itu, mahkamah sebulat suara memberikan perintah itu mengikut terma.

Terdahulu peguam Rosmah, Jagjit Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu memohon kebenaran mahkamah untuk mendapatkan kembali pasport antarabangsanya bagi membolehkan beliau pergi ke Singapura untuk melawat anak perempuannya, dan menantunya serta dua cucu, yang seorang daripadanya tidak sihat.

Beliau berkata Rosmah akan berlepas ke Singapura pada 23 Mac, dan akan berada di negara republik itu selama enam minggu, di samping menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana, sebelum kembali pada 5 Mei.

"Kami berjanji untuk memulangkan pasportnya (Rosmah) (ke mahkamah) dalam tempoh seminggu selepas dia kembali," kata Jagjit Singh.

Poh kemudian mencadangkan agar Rosmah memulangkan pasportnya pada atau sebelum 10 Mei.

Pasport Rosmah disita oleh mahkamah pada 2019 selepas dia didakwa bagi pertuduhan rasuah.

Pada 1 September tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion.

Rosmah, 71, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun; di samping denda RM970 juta, yang jika gagal dibayar akan boleh membawa kepada hukuman penjara 30 tahun. 

Dia didakwa terhadap satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rayuan Rosmah terhadap sabitan, penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu, ditetapkan untuk dibicarakan di Mahkamah Rayuan selama empat hari mulai 11 Julai.

Turut mewakili Rosmah, yang hadir di mahkamah hari ini, ialah peguam Akberdin Abdul Kader dan Azrul Zulkifli Stork.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.