- Iklan -
Berita

Lagi lantikan politik selepas pengikut Anwar dinamakan pengerusi Tekun?

Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR antara nama tersenarai dalam surat yang tersebar dari Pejabat Perdana Menteri.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Abdullah Sani Abdul Hamid, Sany Hamzan dan Bernard Dompok.
Abdullah Sani Abdul Hamid, Sany Hamzan dan Bernard Dompok.

Bekas ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid dari PKR dilantik untuk mengetuai Tekun Nasional, sebuah agensi yang ditugaskan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada perniagaan Bumiputera, menurut surat daripada ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri yang tersebar hari ini.

Tekun Nasional adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Salinan surat yang mengandungi kepala surat Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu turut menamakan Sany Hamzan dari parti Amanah sebagai timbalannya, dan bekas presiden Upko Bernard Dompok sebagai pengerusi SME Corp, yang juga berada di bawah kementerian yang sama. 

Surat itu menyatakan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan pelantikan ketiga-tiga pemimpin tersebut. 

MalaysiaNow cuba mengesahkan pelantikan itu dengan PMO.

Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat ketika dihubungi berkata beliau belum dimaklumkan mengenai pelantikan itu.

"Saya pun tak dapat surat lagi," katanya.

Abdullah yang merupakan orang kuat Anwar, tewas di kerusi Parlimen Kapar kepada Halimah Ali dari PAS dengan majoriti lebih 11,000 undi pada pilihan raya umum tahun lepas. 

Kerajaan dikritik berhubung beberapa siri pelantikan politik untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Mereka termasuk pelantikan penyokong setia Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai dua badan kerajaan yang bertanggungjawab besar dalam pembangunan ekonomi Bumiputera.

Bekas ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dinamakan sebagai pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), sementara Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub dikekalkan sebagai pengerusi Felcra.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Bakhtiar Wan Chik, dinamakan sebagai pengerusi cabang pelaburan milik kementerian kewangan MyCreative Ventures Sdn Bhd, dan Husam Musa dari Amanah dilantik sebagai pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd.

Tidak sampai sebulan selepas memegang jawatan, kerajaan Anwar menamatkan lantikan politik kerajaan terdahulu di badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.