- Iklan -
Berita

Mengapa beri tarikh baru jika ada penerbangan hari sama, soal penumpang AirAsia

Mohd Dahlan Mohd Noor mempersoalkan mengapa AirAsia menukarkan ke 22 April jika terdapat penerbangan lain pada 19 April.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang menunggu di luar pintu masuk ketika pesawat AirAsia diletakkan pada platform di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Penumpang menunggu di luar pintu masuk ketika pesawat AirAsia diletakkan pada platform di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Penumpang AirAsia yang sebelum ini berdepan isu pembatalan penerbangan untuk pulang beraya pada April akhirnya dapat menarik nafas lega apabila dia berjaya mendapatkan semula penerbangan pada tarikh asal.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan, penerbangan dua hala yang ditempah oleh Mohd Dahlan Mohd Noor untuk tiga orang, sejak hampir setahun lalu dibatalkan dan ditukar kepada tarikh baru tanpa persetujuannya.

Mengikut dokumen yang ditunjukkan kepada MalaysiaNow, penerbangan yang sepatutnya berlepas pada 19 April dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan, ditukar kepada 22 April, tarikh umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.

Meskipun ditawarkan pilihan untuk menukar tarikh penerbangan secara percuma, Dahlan tetap kecewa apabila tiada penerbangan antara tarikh 19 hingga 21 April.

Namun begitu, sejak isu yang dihadapinya itu disiarkan pada Jumaat minggu lalu, Dahlan memaklumkan MalaysiaNow bahawa dia dihubungi oleh wakil AirAsia yang ingin berbincang dengannya bagi menyelesaikan masalah terbabit.

Bagaimanapun, perbincangan itu mencetuskan kemarahan Dahlan apabila dimaklumkan AirAsia sememangnya mempunyai penerbangan yang beroperasi pada 19 April.

Ini menyebabkan Dahlan mempersoalkan tindakan AirAsia yang membatalkan penerbangannya dan menukar kepada tarikh baru, sedangkan terdapat penerbangan yang boleh dinaiki pada hari sama.

"Apabila saya buka aplikasi AirAsia (pada 19 Mac) untuk membeli tiket baru, memang ada tunjuk tiga penerbangan pada tarikh 19 April 2023 dan dua penerbangan pada 20 April 2023," katanya kepada MalaysiaNow.

"Selepas itu dia (wakil AirAsia) kata yang penerbangan 19 April pada jam 6.35 pagi itu hanya cukup-cukup untuk kami bertiga.

"Sekali lagi saya cuba beli 'tiket baru' untuk enam orang, boleh pula sampai ke halaman bayaran. Bagaimana cakap hanya ada tiga kekosongan tetapi saya boleh beli tiket baru sampai enam hingga lapan orang?"

Untuk rekod, penumpang yang ingin membeli tiket penerbangan bertarikh 19 hingga 24 April 2023 menggunakan platform AirAsia pada masa ini perlu membayar sekitar RM700 seorang, kenaikan mendadak daripada RM141.96 yang dibayar Dahlan ketika menempah 3 tiket dua hala pada 23 April tahun lalu.

Mengulas lanjut, Dahlan akhirnya berjaya mendapatkan kembali penerbangan pada 19 April selepas dia sekali lagi dihubungi AirAsia pada tengah hari 21 Mac.

"Pagi tadi (21 Mac) baru selesai. Saya dihubungi wakil daripada AirAsia yang akhirnya menawarkan penerbangan pada jam 7.55 malam pada 19 April dan pulang pada 24 April.”

MalaysiaNow cuba menghubungi AirAsia dan masih menunggu maklum balas daripada syarikat penerbangan itu.