- Iklan -
Berita

PAS gesa pihak berkuasa ambil tindakan terhadap kelab malam anjur persembahan ‘Thai Hot Guy’

Parti Islam itu berkata aktiviti 'maksiat dan jijik' ini tidak boleh dibenarkan di Malaysia terutamanya pada bulan Ramadan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Satu catatan di halaman Facebook Privacy Club Tun Razak.
Satu catatan di halaman Facebook Privacy Club Tun Razak.

PAS menggesa pihak berkuasa tempatan bertindak tegas terhadap sebuah kelab malam menjelang pembukaannya minggu depan yang menampilkan persembahan sekumpulan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita, dikenali sebagai Thai Hot Guy, sambil menyifatkan acara itu bukan sahaja tidak sensitif dengan bulan Ramadan tetapi juga "tidak bermoral dan menjijikkan".

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan turut mempersoalkan tindakan Privacy Club Tun Razak, sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, berhubung penggunaan nama bekas perdana menteri itu.

“Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara,” katanya, sambil menambah pihak berkuasa tidak sepatutnya meluluskan sebarang nama yang dipilih oleh individu dan perniagaan.

Menurut catatan Facebook kelab malam itu terdapat 250 tempat disediakan kepada pengunjung sempena pembukaan rasminya pada 30 Mac.

"Tidak perlu pergi ke Thailand kali ini kerana mereka akan datang ke Malaysia... dikelilingi oleh sekumpulan lelaki kacak dengan baju tidur yang sangat seksi," menurut salah satu catatan di Facebook dalam bahasa Cina.

Takiyuddin berkata, acara itu bukan sahaja bertentangan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan apatah lagi ia diadakan pada bulan Ramadan.

Beliau berkata acara itu menggalakkan "budaya hedonistik, lucah dan seks bebas".

Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

“Kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti ini,” tambahnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.