- Iklan -
Berita

Derita 30 tahun wanita Sikh menunggu kerakyatan

Baljit Kaur ditinggalkan oleh ibu kandungnya ketika masih kecil dan tidak mempunyai dokumen sah yang diperlukan untuk membuktikan haknya untuk bergelar rakyat Malaysia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Baljit Kaur menunggu sepanjang hayatnya untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia. Gambar: Bernama
Baljit Kaur menunggu sepanjang hayatnya untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia. Gambar: Bernama

Kehidupan Baljit Kaur tidak bermula dengan begitu baik.

Pada usia kanak-kanak, dia ditinggalkan oleh ibunya secara tiba-tiba.

Pada mulanya, ibunya menumpang di rumah milik sebuah keluarga Sikh di Pulau Pinang oleh kerana keadaannya yang sehelai sepinggang.

Swarn Singh, ketua keluarga Sikh yang menerima masuk ibu Baljit merupakan seorang pengusaha taska yang buta. 

Menurut ceritanya, ibu kandung Baljit datang dari Negeri Sembilan dan mahu mencari kerja di pulau mutiara itu.

Namun satu hari, wanita tersebut keluar dan hilang tanpa berita. 

Sejak itu, Baljit dibesarkan oleh keluarga Sikh dengan baik.

Kanak-kanak perempuan itu membesar dengan anak-anak keluarga berkenaan dan sudah dianggap sebagai adik-beradik mereka. 

Disebabkan ibu bapanya kini sudah tidak diketahui lokasinya, dan ketiadaan dokumen berkaitan kelahiran, Baljit tidak diberikan kewarganegaraan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, kakak angkatnya, Sumir Kaur berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk mendapatkan kerakyatan bagi Baljit.

“Pada 2014, saya memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang untuk memulakan proses mencari sijil kelahiran Baljit.

"Oleh kerana kami tidak mempunyai sebarang dokumen sah kanak-kanak ini, JPN memberitahu kami bahawa mereka gagal mencari sijil kelahirannya," katanya kepada MalaysiaNow.

Usaha kemudian dibawa kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada 2019, ketika beliau menjadi menteri dalam negeri.

Selepas pertemuan itu, JPN Putrajaya menjalankan siasatan dan membantu meluluskan sijil kelahiran daftar lewat untuk Baljit.

"Pada 2020, JPN Putrajaya memberi kami borang untuk memohon Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MYKAS) untuk Baljit Kaur.

“Mereka memberitahu kami harus memohon MYKAS dahulu dan selepas mendapatkan Kad Pengenalan MYKAS, baru kami boleh memulakan proses untuk memohon kewarganegaraan Malaysia."

Dalam kad pengenalan MYKAS itu, taraf kewarganegaraan Baljit tercatat status “Bukan Warganegara”.

Sumir turut mempersoalkan tindakan JPN Putrajaya yang mendorong mereka memohon MYKAS sedangkan Baljit berhak menerima kerakyatan.

Katanya, Baljit sudah menanggung derita tiada kerakyatan sepanjang hayatnya.

"Baljit tidak dapat bersekolah kerana tiada dokumen. Saya yang mengajarnya di rumah. Dia juga tidak dapat mengambil lesen kereta kerana tiada dokumen.

"30 tahun, dia duduk di rumah sahaja kerana tidak dapat buat apa-apa tanpa dokumen," katanya.

Lebih malang lagi, keadaan mental Baljit juga pernah merudum dengan teruk akibat statusnya.

Sumir mendedahkan, Baljit pernah cuba mengambil nyawanya sendiri sembilan tahun lepas.

Ketika waktu berganti waktu, Baljit tidak memadam cita-citanya untuk menjadi chef. 

Kata Sumir, wanita itu ingin membuka restorannya sendiri satu hari nanti.