- Iklan -
Berita

Hakim baharu dengar kes pengubahan wang haram, pengelakan cukai Rosmah

Hakim K Muniandy, menggantikan hakim Mohamed Zaini Mazlan yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi didengar hakim baharu hari ini.

Kes itu didengar hakim K Muniandy, menggantikan hakim Mohamed Zaini Mazlan yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Semasa prosiding pengurusan kes hari ini, peguam Geethan Ram Vincent memberitahu mahkamah bahawa pihaknya menarik balik permohonan untuk menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram daripada mengendalikan kes itu, setelah bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu meninggal dunia pada akhir Januari lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn tidak membantah dan mahkamah membatalkan permohonan tersebut.

Sebelum ini mahkamah menetapkan 15 hari bermula 12 Mei ini untuk mendengar perbicaraan kes itu. 

Mahkamah diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.