- Iklan -
Berita

‘Mentaliti’ guru tak terima tawaran mengajar di Sabah, Sarawak

Tidak semua orang mempunyai mentaliti yang diperlukan untuk dihantar jauh dari rumah, kata seorang guru penolong kanan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang guru memulakan sesi suai kenal bersama anak muridnya pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching 20 Mac. Gambar: Bernama
Seorang guru memulakan sesi suai kenal bersama anak muridnya pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching 20 Mac. Gambar: Bernama

Syamimi (bukan nama sebenar) gembira apabila mendapat tahu namanya tersenarai dalam pengambilan guru secara "one-off" di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2021 menyifatkan ianya sebagai peluang baru untuk membina kerjaya dan kehidupan.

Selepas beberapa ketika, dia dimaklumkan tentang tarikh pengumuman penempatan mengajar dan semakannya mendapati dia perlu melaporkan diri ke sebuah pejabat pendidikan daerah di Sarawak. 

"Saya takut dan bimbang kalau dihantar bekerja di dalam kawasan pedalaman dan hutan.

"Tak mahu fikir panjang dan terus rasa was-was, saya putuskan tak pergi dan tolak tawaran mengajar," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, data KPM mendapati 222 orang daripada 3227 guru "one-off" tidak melaporkan diri selepas ditawarkan penempatan ke Sarawak.

Ketika ditanya sama ada dia bersedia untuk dihantar ke Sabah atau Sarawak sewaktu ditemu duga oleh KPM, Syamimi mengatakan dia bersedia kerana tidak menyangka sememangnya akan dihantar bekerja ke negeri itu.

"Ramai di antara guru-guru lantikan 'one-off' sebutkan bahawa mereka yang berasal dari Sarawak sahaja akan dihantar mengajar ke Sarawak.

"Sebab itu pada awalnya saya yakin tak akan dihantar ke sana."

Menurut jawapan KPM di Parlimen awal Mac, guru kelahiran Sarawak diberikan keutamaan untuk ditempatkan di negeri kelahiran mereka berdasarkan kekosongan perjawatan dan keperluan opsyen.

Bagi pembangunan profesionalisme guru baru, KPM melaksanakan Program Pembangunan Guru Baru untuk membimbing dan membantu secara profesional dan berstruktur bagi membolehkan guru baru mengadaptasi persekitaran, budaya dan komuniti sekolah.

Gambaran terhadap Sarawak dan Sabah

Sementara itu, seorang guru penolong kanan (pentadbiran) yang mempunyai baki dua tahun perkhidmatan sebelum bersara wajib yang mahu dikenali sebagai Hussien berkata, trend guru di Semenanjung menolak penempatan ke Sabah dan Sarawak bukan satu perkara yang luar biasa.

Selama lebih tiga dekad dalam profesion itu, Husein berkata terdapat banyak alasan dan masalah yang berakar umbi di mana ianya perlu penelitian yang rapi oleh KPM dan paling penting, di pihak masyarakat juga.

Pertama, katanya, segelintir guru tanpa mengira lantikan tetap atau "one-off" berhak untuk menolak tawaran mengajar disebabkan kekangan yang jelas.

Antaranya, masalah kewangan untuk mula berhijrah ke Sabah dan Sarawak.

Masalah akan timbul kerana belanja yang tinggi seperti tiket penerbangan, sewa hotel sebelum melapor diri di pejabat pendidikan dan duit pendahuluan rumah sewa bagi sekolah yang tiada kuarters guru. 

"Kemudian, kena lihat pula kebanyakan guru-guru lantikan 'one-off' ini mereka yang dah berkeluarga dan penghujung usia 20an.

"Apabila anak-anak masih kecil dan usia perkahwinan masih awal, mereka sukar untuk buat keputusan berpindah sebab 'support system' masih lemah," katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Hussein, dia dihantar mengajar ke salah sebuah daerah di Sarawak pada 1989 ketika berusia 24 tahun.

Dia yang berasal dari Kajang, Selangor berkata hanya tuhan sahaja tahu apa yang bermain dalam hati dan fikirannya ketika pertama kali menjejak kaki ke lapangan terbang di Kuching.

"Tanpa mentaliti yang betul dan tepat, saya mungkin tersungkur lebih awal.

"Apa yang kita baca dan tengok sekarang ini adalah masalah mentaliti dalam kalangan guru-guru." 

Selepas berdekad lamanya berada di Sarawak, Hussein selalu menjadi rujukan rakan-rakan dan orang KPM sekiranya ada guru yang sangsi untuk datang ke negeri itu.

Katanya, dia pernah berjumpa dengan pelbagai jenis mentaliti termasuk mereka yang masih percaya bahawa apabila mengajar di Sarawak akan tinggal di dalam pondok atau di bawah pokok.

Ada juga yang masih menganggap mereka perlu mencari makanan sendiri seperti bela ayam, cari sayur di hutan atau tangkap ikan.

"Inilah masalahnya. Mereka masih hidup dalam mentaliti sedemikian.

"Mereka boleh sahaja bayangkan orang Sarawak minum di Starbucks atau makan ayam di KFC tapi mereka mungkin lebih bahagia dengan mentaliti itu," katanya sambil menambah KPM tidak boleh dipersalahkan dalam trend guru menolak tawaran kerja di kedua-dua negeri itu.

Katanya, tidak dinafikan masih ada beberapa kawasan dalam Sarawak yang belum membangun dan sukar diakses dengan kemudahan jalan raya yang baik.

Bagaimanapun, kata Hussein pihak sekolah sama sekali tidak akan "membuli" guru baru sebaliknya memberikan mereka masa untuk bersedia sebelum datang ke sekolah.

Dia sendiri sebagai guru dan pentadbir pernah meminta guru baru mengajar lewat dua minggu sehingga dia selesaikan semua urusan rumah tangga seperti pengasuh anak, kenderaan untuk berulang alik dan rumah sewa berdekatan sekolah.

Selain itu, Hussein menegaskan mereka yang dari peringkat awal lagi sudah was-was atau takut dihantar bekerja ke mana-mana negeri sebenarnya tidak boleh atau belum bersedia menjadi penjawat awam.

Ini kerana katanya, rata-rata pekerjaan dalam sektor awam tidak pernah menjanjikan mereka boleh bekerja di lokasi idaman masing-masing.

Jika dihantar juga mungkin kerana nasib atau kebetulan selain hubungan dengan orang dalaman di jabatan kerajaan.

"Baiklah, andai kata anda berasal dari Johor dan dihantar mengajar juga di Johor. Baguslah.

"Tapi anda sendiri akan tengok, demografi anak murid semuanya bukan terdiri daripada orang Johor. 

"Ada yang ibu bapanya orang Selangor, ada orang Sabah. Sebab apa? Mak ayah mereka pun dihantar bekerja ke sana. Jadi cikgu atau polis ataupun jururawat."

Pada 2021 sewaktu sesi persekolahan mula beralih secara fizikal, Hussien akhirnya berpindah mengajar ke Semenanjung dan hidup bersama kedua ibu bapanya berusia 79 dan 74 tahun.

Dia berharap, KPM mampu mencari mekanisme atau kaedah paling berkesan dalam meneliti permasalahan itu supaya tidak wujud jurang yang semakin luas dalam pendidikan anak-anak bangsa yang dibezakan hanya kerana masalah mentaliti.

"Ini juga sukar untuk KPM kerana mentaliti payah nak dikesan sewaktu temu duga.

"Yang kita jumpa hanyalah janji manis, saya boleh dan saya bersedia."