- Iklan -
Berita

PN tuntut penjelasan selepas Anwar pulang dari Arab Saudi tanpa bertemu putera mahkota

Gabungan pembangkang itu juga menuntut perdana menteri mendedahkan butiran penuh termasuk kos perjalanan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama menteri dan pegawai yang mengiringinya ke Arab Saudi, di mana pertemuan yang dijadualkan dengan ketua ‘de facto’ kerajaan itu tidak menjadi kenyataan. Gambar: Facebook.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama menteri dan pegawai yang mengiringinya ke Arab Saudi, di mana pertemuan yang dijadualkan dengan ketua ‘de facto’ kerajaan itu tidak menjadi kenyataan. Gambar: Facebook.

Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan daripada kerajaan mengenai apa yang berlaku sewaktu lawatan rasmi Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini, yang mana perdana menteri dan rombongan menterinya gagal bertemu dengan pemerintah “de facto” kerajaan Putera Mahkota Mohammed bin Salman. 

Gabungan pembangkang itu juga menggesa Anwar untuk memberikan pendedahan penuh mengenai kos perjalanan termasuk butiran keselamatan dan anggota rombongan lain, kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Arab Saudi bukan sahaja merupakan rakan dagangan penting Malaysia, malah mempunyai hubungan yang amat akrab dengan negara kita. 

“Di atas kepentingan ini, perdana menteri diminta untuk menjelaskan kegagalan lawatan ini di dalam Dewan Rakyat agar ahli-ahli Parlimen dapat merungkai dan menghuraikan dengan lebih lanjut supaya hubungan rapat dua hala kedua-dua negara akan terus dipertahankan,” kata Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mengetuai jawatankuasa hal ehwal antarabangsa PN.

Persoalan timbul selepas disahkan Anwar tidak dapat bertemu Mohammed, putera mahkota Arab Saudi yang juga perdana menteri, walaupun pertemuan mereka dijadualkan sebagai acara kemuncak ketika lawatan rasmi tiga hari beliau.

Wisma Putra sebelum ini berkata lawatan itu atas jemputan Mohammed.

Laporan Bernama berkata pertemuan itu tidak berlangsung kerana putera mahkota itu mempunyai perubahan rancangan menjelang bulan Ramadan.

Sekurang-kurangnya dua diplomat yang bercakap dengan MalaysiaNow berkata insiden itu memalukan kerajaan secara diplomatik, dan juga mempersoalkan perbezaan tahap layanan yang diberikan kepada Anwar berbanding dengan lawatan Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri dua tahun lalu.

Wan Fayhsal berkata tidak ada laporan berita yang menunjukkan bahawa Anwar, yang menunaikan umrah di Mekah pada hari pertamanya, diberi penghormatan untuk memasuki Kaabah seperti yang berlaku terhadap Muhyiddin dan bekas perdana menteri lain sewaktu lawatan rasmi mereka ke Arab Saudi.

Beliau berkata Pejabat Perdana Menteri mesti menjawab soalan serius mengenai hubungan Malaysia-Arab Saudi.

“Umum mengetahui bahawa perdana menteri hanya akan berlepas untuk mengadakan sesuatu lawatan rasmi sekiranya semua aturan jemputan dan pertemuan sudah disahkan oleh kedua-dua negara. Dalam perkara ini, adakah PMO sudah mengesahkan semua pertemuan termasuk pertemuan di antara perdana menteri dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebelum perdana menteri berlepas ke Arab Saudi?” soal beliau.

Wan Fayhsal mengingatkan kepentingan Arab Saudi bukan sahaja sebagai penjaga dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah, tetapi juga rakan perdagangan penting bagi Malaysia.

“Pelaburan Arab Saudi melalui Saudi Aramco di Pengerang adalah salah satu contoh pelaburan berimpak tinggi yang membantu Malaysia dalam pembangunan industri minyak dan gas berteknologi tinggi.”

“Dalam ketegasan perdana menteri agar kerajaan melaksanakan dasar penjimatan dalam pentadbirannya, saya meminta agar perdana menteri membentangkan dalam Parlimen keseluruhan kos lawatan ini, termasuk segala persiapan yang telah dibuat melibatkan segala kos perjalanan dan perbelanjaan pasukan keselamatan, delegasi dari Pejabat Perdana Menteri serta dari Pejabat menteri-menteri yang mengiringi perdana menteri dalam siri lawatan ke Arab Saudi pada kali ini.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.