- Iklan -
Berita

Kos sara hidup tinggi, kerja sambilan jadi keutamaan pelajar universiti

Sebahagian daripada mereka menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding menghadiri kuliah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Kekurangan wang menyebabkan pelajar universiti kurang bersosial dan banyak menghabiskan waktu sendirian malah ada antara mereka merasakan diri sering kali murung, tertekan dan beremosi.
Kekurangan wang menyebabkan pelajar universiti kurang bersosial dan banyak menghabiskan waktu sendirian malah ada antara mereka merasakan diri sering kali murung, tertekan dan beremosi.

Lazimnya, orang ramai akan membayangkan ungkapan "krisis kos sara hidup" melibatkan ibu bapa yang bergelut mencari makan untuk anak-anak, namun terdapat satu lagi demografi yang terpinggir ketika membincangkan topik ini.

Mereka ialah pelajar kolej dan universiti di seluruh negara.

Meskipun hanya melibatkan demografi solo atau bersendirian, pelajar turut berada di tengah-tengah keterdesakan hidup akibat krisis yang sama apatah lagi mereka yang menyambung pengajian di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor.

Semakan MalaysiaNow mendapati, keadaan memburuk apabila pinjaman pendidikan dan geran pelajar tidak meningkat atau selari untuk menandingi inflasi dan golongan dari keluarga miskin bandar berdepan keadaan paling mencabar.

Ahmad Ameer pelajar tahun tiga pendidikan berkata sekian lama pelajar universiti melakukan kerja sambilan di luar waktu kuliah.

Berbeza dengan situasi dahulu, pelajar bekerja untuk tambah baik kemahiran komunikasi dan timba pengalaman.

"Pelajar di generasi kami pula kena kerja untuk cari duit nak makan.

"Tak kerja maksudnya tak dapat makan," katanya sambil menambah pelajar universiti yang bekerja meletakkan diri mereka sebagai orang yang bekerja dan kemudian sebagai pelajar.

Ini kerana katanya, maksimum kuliah yang dihadiri oleh seseorang pelajar dalam masa sehari tidak sampai 10 jam.

Tetapi tempoh bekerja di luar menelan masa lebih 12 hingga 15 jam sehari menjadikan mereka sebenarnya golongan kelas pekerja bukan lagi pelajar universiti.

"Ada yang kerja lebih 30 jam seminggu.

"Kalau macam tu, takkan saya nak panggil diri saya pelajar sedangkan jelas penat seharian adalah untuk bekerja?"

Ahmad bekerja sambilan sejak semester kedua pengajian di Universiti Malaya dengan gaji bulan antara RM900 hingga RM1500.

Dia yang datang dari keluarga miskin bandar berkata sudah melakukan kerja sambilan sejak di tingkatan empat, ketika itu menjaga kedai baju selepas waktu sekolah. 

Dan walaupun pelajar seperti Ahmad akan lebih terjejas dalam krisis sara hidup, mereka dari kelas pertengahan juga berdepan masalah kewangan.

Ramai pelajar yang masih bergantung kepada sumbangan ibu bapa mereka untuk menampung sara hidup di universiti.

Keadaan ini kemudiannya menimbulkan krisis untuk keluarga pelajar menyebabkan mereka mengambil keputusan sama ada berhenti pengajian atau kerja sambilan.

R Rootra, 22, mula bekerja sambilan selepas mendapati ibunya selalu berhutang dengan ahli keluarga yang lain untuk memberikannya duit belanja di universiti.

Dia yang berasal dari Segamat, Johor berkata duit pinjaman pendidikan yang disalurkan setiap satu semester tidak mencukupi untuk menampung belanjanya di kampus yang berada di ibu kota.

Selepas tolak kos yuran, bilik sewa, pas internet dan keperluan belajar hanya kira-kira RM1,000 berbaki untuk digunakan bagi kos makanan dan pengangkutan.

"Selalunya saya bawa balik makanan dari tempat kerja sebab majikan belikan nasi tengah hari.

"Saya masuk kerja sebelah petang sudah makan dari bilik sewa dan makan nasi selepas habis waktu kerja."

Keadaan ini tidak terbatas pada Ahmad dan Rootra sahaja, di media sosial lebih ramai pelajar tampil berkongsi kesempitan hidup masing-masing yang saban hari terkesan dengan kos sara hidup.

Disebabkan kos kelangsungan hidup harian yang tinggi dan berusaha keras untuk bertahan, mereka juga menyifatkan tekanan emosi dan perasaan menjadi cabaran pada masa serentak.

Mereka tidak mahu terus menjadi beban keluarga menyebabkan mereka banyak memendam perasaan.

Selain itu, kekurangan wang turut menyebabkan mereka kurang bersosial dan banyak menghabiskan waktu sendirian.

Lama kelamaan, mereka merasakan diri sering kali murung, tertekan dan beremosi.

Berbeza dengan beberapa tahun lalu, luahan perasaan pelajar sering dibalas dengan sinis seperti manja, boros berbelanja dan tidak pandai menguruskan keutamaan.

Kini, meninjau di ruangan komen ramai netizen memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar bahkan bersetuju dengan cabaran yang sedang dihadapi mereka.

"Tak boleh salahkan mereka, seminggu sekali nak juga keluar dengan kawan-kawan minum air kopi mahal.

"Tapi sekarang budak-budak ini kena pilih nak makan nasi RM5 ke nak isi 'top up' telefon," tulis Shamsul Anuar di Twitter.

"Kita yang kerja gaji RM5,000 sebulan pun terkapai, tak pelik sekiranya budak-budak ini lagi seksa nak hidup," tulis Salam Nor di Facebook.

Sementara itu, seorang bapa kepada pelajar sains kemanusiaan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Razali berkata anaknya juga semakin merasai cabaran menjadi orang dewasa yang duduk di bandar pesat membangun.

"Saya cukup marah kalau orang kata anak-anak jangan dimanja dan diberi duit.

"Budak-budak itu tak ada duit takkan nak suruh tahan lapar?" katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, anaknya dan rakan-rakan amat menantikan ketibaannya bulan puasa kerana mereka boleh berjimat dan menerima banyak sumbangan orang ramai kepada pelajar-pelajar di kampus.

"Masjid universiti lah jadi penyelamat budak-budak itu sebab mereka boleh makan berbuka puasa sepuas hati dan siap bawa balik ke bilik untuk bersahur."

Sebagai bapa, dia tidak menafikan kos sara hidup berupaya mengajar anak-anaknya realiti sebenar menjadi orang dewasa yang mahu membina hidup.

Tetapi, dia juga khuatir apabila kesempitan hidup yang mereka rasai sejak usia muda akan menjadikan mereka patah semangat di tahap awal dan tidak mahu maju ke depan.

"Jangan sampai dia rasa susahnya nak hidup, kemudian mereka berpaling dan lupakan cita-cita yang mereka nak capai," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.