- Iklan -
Berita

Mengapa pasport Zahid dipulangkan secara kekal, tetapi Rosmah sementara? soal Shahidan

Shahidan Kassim mempersoalkan layanan istimewa yang diberikan kepada timbalan perdana menteri.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari. Gambar: Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 16 Januari. Gambar: Bernama.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mempersoalkan mengapa Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob menyatakan beliau "diarahkan" untuk tidak mengemukakan sebarang bantahan dalam permohonan mendapatkan semula pasport antarabangsa Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah hari ini.

Ketika berucap dalam Dewan Rakyat hari ini, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu turut mempersoalkan mengapa Zahid diberi layanan istimewa sedangkan presiden Umno itu sedang berdepan 47 pertuduhan kes mahkamah.

Menurut Shahidan, sekiranya Zahid diberikan pasport antarabangsa secara kekal, maka isteri Najib Razak, Rosmah Mansor juga perlu diberikan layanan sama.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan pagi tadi membenarkan Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan hakim Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan Zahid yang sebelum ini ditolak Mahkamah tinggi pada 3 Februari lalu.

Sementara itu, Rosmah pula dibenarkan untuk ke Singapura selepas pasport isteri bekas perdana menteri itu dikembalikan secara sementara pada Selasa minggu lalu.

"Kenapa DPP sebut perkataan ini 'dapat arahan untuk tidak membantah'? Dia kata dapat arahan untuk tidak membantah di mahkamah. Tolong jawab, saya tak faham," soal Shahidan ketika berucap dalam sesi Perbahasan Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri.

"Sekiranya kita beri kepada TPM, kita perlu bagi juga kepada Rosmah. Rosmah (cuma) dapat pasport sementara.

"Kenapa boleh bagi kepada TPM tetapi tidak beri kepada Rosmah?"

Mengulas lanjut, Shahidan menyarankan supaya kerajaan bersikap adil dan tidak membuat keputusan secara terpilih.

"Saya sokong supaya diberikan kepada semua.

“Ini Madani," tambah beliau.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.