Rang Undang-undang Pemasuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dibentang bagi bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Ketika mengemukakan rang undang-undang tersebut, Azalina berkata ia juga akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua pada mesyuarat kali ini.
Menurutnya, naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan; serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara berhubungan dengannya dengan meminda tujuh akta berkaitan.
Akta-akta tersebut ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Akta Penculikan 1961 (Akta 365), Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), Akta Perdagangan Strategik 2010 (Akta 708), Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Pindaan terhadap kesemua akta berkenaan adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua perundangan.
Selain itu, pindaan terhadap Akta 574 dilakukan bertujuan menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati yang tertakluk dengan budi bicara antaranya bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A, 130C, 302 dan 374A.
Dengan pindaan itu, mahkamah mempunyai nilai budi bicara sama ada untuk menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan atau hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi 40 tahun.
Kerajaan sebelum ini bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia dengan mengenakan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun 2022.