- Iklan -
Berita

5 lagi lebuh raya bakal laksana sistem pembayaran terbuka tol

Ia melibatkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Setakat ini, 11 lebuh raya bersetuju untuk menyertai sistem pembayaran terbuka tol bermula pertengahan September ini.
Setakat ini, 11 lebuh raya bersetuju untuk menyertai sistem pembayaran terbuka tol bermula pertengahan September ini.

Lima lagi lebuh raya bersetuju untuk mengambil bahagian dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka tol yang akan dimulakan pada pertengahan September ini.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata persetujuan baharu itu melibatkan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

“Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, sistem pembayaran terbuka ini akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan pelbagai syarikat konsesi lebuh raya.

“Rundingan seumpama ini merupakan usaha berterusan kementerian dan perlu diadakan bagi memastikan pelaksanaan sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) dapat dijayakan,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

Pada 24 Mac lepas, Nanta mengumumkan enam lebuh raya termasuk Lebuhraya Butterworth-Kulim seperti yang diumumkan oleh pihak PLUS akan melaksanakan ‘open payment system’ atau sistem pembayaran terbuka tol di lebuh raya masing-masing bagi memberikan pilihan cara pembayaran tol kepada pengguna. 

Beliau berkata ini menjadikan keseluruhan jumlah lebuh raya yang bakal terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka itu adalah 11.

Selain itu, beliau turut mengumumkan keputusan lokasi pelaksanaan pembuktian konsep (POC) MLFF telah pun diputuskan dengan Lebuhraya Sungai Besi dipilih sebagai lokasi POC yang pertama.

“Pelaksanaan POC ini akan dibuat pada penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya di Malaysia.

“Kementerian juga sedang mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi yang lain bagi mendapatkan satu lagi lebuh raya bagi pelaksanaan POC MLFF. Keputusan lokasi POC kedua ini akan saya umumkan dalam masa terdekat,” katanya.