Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi hanya disambut pegawai berpangkat rendah, satu situasi yang sangat berbeza untuk pemimpin-pemimpin negara ketika membuat lawatan rasmi ke negara luar.
Bekas perdana menteri itu berkata, ketika menyandang jawatan tersebut sebelum ini tidak ada satu negara pun yang gagal menyambut kedatangannya dan delegasi dari Malaysia.
Sebelum ini media melaporkan lawatan rasmi tiga hari Anwar ke Arab Saudi berakhir tanpa sebarang pertemuan dengan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan putera mahkota Mohammed.
Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak memahami mengapa kedua-dua pemerintah Arab itu enggan untuk berjumpa dengan Anwar.
"Mungkin mereka ada satu pandangan yang kita tak tahulah yang menyebabkan mereka tak mahu jumpa Anwar.
"(Tapi) yang jumpa Anwar pun pegawai yang amat rendah," katanya pada satu sidang media di Putrajaya, hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau tahu dalang di sebalik penutupan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), dengan nama pemimpin yang disebut di sebalik usaha tersebut ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Mahathir tidak mengulas lanjut.
Menurutnya, beliau hanya mengetahui berita tentang KSCIP dihentikan operasi tetapi tidak tahu siapa dalang di sebalik tindakan itu.
KSCIP mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 30 Mei 2017 selepas dicadangkan oleh Raja Arab Saudi yang berperanan sebagai badan untuk mengekang fahaman pelampau dan militan.
Pada tahun 2018 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, Mohamad mengumumkan operasi KSCIP yang beroperasi di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta-merta.
Beliau berkata fungsi badan itu diserap Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS), sebuah institusi di bawah Kementerian Pertahanan.
Penubuhan KSCIP dikritik PH terutama pimpinan Amanah.
Mereka mempertikaikan kelayakan Arab Saudi mewujudkan pusat seperti itu memandangkan doktrin rasmi negara itu menjadi ilham kepada fahaman IS.