Tahap korupsi membabitkan anggota penguat kuasa sebagai barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan, kata Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Khusairi Yahaya.
Khusairi berkata situasi kebanjiran pendatang asing tanpa izin, pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengambil kesempatan mengambil rasuah.
Katanya tidak kira sama ada pendatang asing berkenaan mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi “kosong” tanpa permit dan berstatus pendatang tanpa izin, kumpulan ini sering menjadi sasaran kepada penguat kuasa.
“Inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia. Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khusairi slogan “Malaysia Boleh” sering dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian cukup memedihkan yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah.
“Maka tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi dalam talian, Macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.
Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya,” katanya.
Khusairi berkata komen mengenai gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang biasa didengar “ia adalah kejadian terpencil” sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini.
Menurutnya, rasuah berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini termasuk berkaitan proses permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat.
“Bagi memperoleh kuota ini, syarikat-syarikat terpaksa membayar rasuah untuk memastikan kelulusan kuota dari segi jumlah pekerja asing yang dibawa masuk,” katanya.
Selain itu, menurut Khusairi kegiatan merasuah penguat kuasa juga berlaku di pintu-pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terlibat dengan jenayah, disenarai hitam, tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan dan sebagainya.
Khusairi berkata gejala rasuah juga berlaku dalam kegiatan penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral serta melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian, Macau scam yang kebanyakan pekerjanya terdiri daripada warga asing.
“Ini adalah sebahagian daripada kesalahan-kesalahan yang berlaku melibatkan pendatang asing di negara ini. Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket,” katanya.
Beliau berkata, justeru isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh memandangkan kesannya yang amat buruk kerana ia melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.
Khusairi berkata pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.