- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen perlu jalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata keputusan itu mengambil kira fakta bahawa sembilan wakil rakyat meninggal dunia akibat penyakit tidak berjangkit antara 2018 dan 2020.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail ahli Parlimen hadir persidangan Dewan Rakyat. Gambar: Bernama
Gambar fail ahli Parlimen hadir persidangan Dewan Rakyat. Gambar: Bernama

Semua ahli Dewan Rakyat sama ada daripada kerajaan mahu pun pembangkang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali bermula pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dipengerusikan beliau hari ini.

“Jawatankuasa mencadangkan agar pemeriksaan kesihatan diadakan sekali setahun, ketika persidangan Dewan Rakyat berjalan di Bangunan Parlimen. Saya sendiri akan tampil dengan rakan-rakan jemaah menteri untuk menawarkan diri bagi pemeriksaan kesihatan kami dilakukan.

“Hal ini setelah mengambil kira fakta bahawa seramai sembilan wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang sedang berkhidmat, meninggal dunia bagi tempoh 2018 hingga 2020, disebabkan penyakit tidak berjangkit seperti komplikasi buah pinggang dan serangan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bangunan Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.  

Zahid berkata ahli Dewan Negara juga mungkin dipertimbangkan untuk berbuat demikian.

“Kita bukan mendahului hukum Allah SWT dalam perkara ini tapi sebagaimana saya maklumkan sebelum itu, mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Terdahulu Zahid berkata perkara berkenaan turut dicadangkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dalam mesyuarat berkenaan. 

Timbalan perdana menteri berkata antara perkara lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat itu meneruskan Kempen Promosi Kesihatan Nasional untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam pembudayaan hidup sihat rakyat.

Katanya ini memandangkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 mendapati satu daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes, tiga daripada 10 rakyat mempunyai kolesterol tinggi dalam badan dan satu daripada dua rakyat mempunyai berat badan yang berlebihan.

“Peningkatan penyakit akibat pembudayaan hidup tidak sihat oleh rakyat memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan dan perbelanjaan negara,” katanya.

Mesyuarat berkenaan juga katanya memutuskan pemberian insentif dan pengiktirafan kepada ejen kesihatan komuniti yang dikenali sebagai MyCHAMPION bertujuan meningkatkan motivasi dan komitmen kepada komuniti setempat.

ANMS diluluskan pada 2020 dengan memfokuskan kepada empat teras iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran.