- Iklan -
Berita

KL, Perak dan Kedah catat penurunan tanah rizab Melayu, kata menteri

Bagaimanapun, semua negeri lain mencatatkan peningkatan, begitu juga dengan jumlah tanah rizab Melayu di Semenanjung.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. Gambar: Bernama
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad. Gambar: Bernama

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan terdapat penurunan dalam tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur, Perak dan Kedah berdasarkan kutipan data pihak berkuasa negeri di Semenanjung Malaysia. 

Bagaimanapun katanya, kawasan tanah yang diwartakan sebagai rizab Melayu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.67% tahun lalu, daripada 4.963 juta hektar kepada 4.996 juta hektar pada tahun lalu.

"Setiap negeri mencatat peningkatan tanah rizab Melayu kecuali Kedah, yang menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537 hektar, Kuala Lumpur, daripada 1,003 hektar kepada 999 hektar dan Perak, daripada 953,042 hektar kepada 953,040 hektar. 

"Negeri-negeri lain semua mencatat peningkatan termasuklah jumlah besar tanah rizab Melayu di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya ketika menjawab soalan Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail ingin tahu mengenai berapa jumlah keluasan asal tanah rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung Malaysia.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pihak berkuasa negeri perlu menggantikan keluasan kawasan yang dibatalkan dengan tanah-tanah lain yang sama jenis dan luasnya sebagai rizab Melayu.

Ketika menjawab soalan tambahan Ismail, Nik Nazmi berkata tiada keperluan untuk membentang kertas putih berhubung isu tanah rizab Melayu.

Katanya, selain faktor keluasan, aspek nilai tanah turut diambil kira oleh kerajaan negeri dalam membuat penggantian tanah rizab.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, kerajaan akan mengkaji mekanisme untuk mempertahankan jumlah tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur yang menyaksikan jumlahnya berubah-ubah sejak rekod terawal pada 1986.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi