- Iklan -
Berita

Umno guna lambang dacing pada PRN 6 negeri, kata Zahid

Timbalan perdana menteri itu berkata parti-parti lain dalam kerajaan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Barisan Nasional melakukan kerja-kerja memacak bendera parti bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 yang berlangsung pada 19 November lalu di Taman Keramat Permai, 7 November 2022.
Petugas Barisan Nasional melakukan kerja-kerja memacak bendera parti bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 yang berlangsung pada 19 November lalu di Taman Keramat Permai, 7 November 2022.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan semua calon parti itu akan menggunakan lambang dacing bagi Pilihan Raya Negeri di enam negeri nanti.

Timbalan perdana menteri itu berkata parti-parti lain dalam kerajaan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

“Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, di Kuala Nerus hari ini.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata Umno bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan setakat ini masih belum membincangkan secara formal mengenai perkara itu.

Sementara itu Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah mengumumkan Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dilantik semula sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah). 

Katanya pelantikan semula Ahmad yang berkuat kuasa serta merta itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.