- Iklan -
Berita

Mengapa lepasan SPM tidak mahu sambung belajar?

Beberapa faktor sedang bermain, termasuk kebimbangan terhadap kewangan dan kos sara hidup.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang Pengawas Peperiksaan memeriksa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama yang berbaris untuk masuk ke dalam dewan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sentul.
Seorang Pengawas Peperiksaan memeriksa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama yang berbaris untuk masuk ke dalam dewan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sentul.

Trend semakin membimbangkan apabila empat daripada 10 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru tamat sesi persekolahan 2022 yang ditemui tidak berhasrat untuk menyambung pengajian ke universiti awam kerana kos sara hidup tinggi selain kecenderungan untuk kerja dan memiliki wang sendiri.

MalaysiaNow menemu bual kumpulan tersebut yang  melibatkan demografi berbeza termasuk latar belakang ekonomi keluarga, jantina dan latar belakang sekolah.

Daripada perbualan dengan kelompok ini, mereka percaya pendidikan formal melalui universiti masih diperlukan terutamanya melibatkan bidang profesional seperti perubatan, perakaunan dan undang-undang.

Bagaimanapun, mereka turut mempersoalkan mengapa ramai pelajar yang terpaksa menghentikan pengajian separuh jalan akibat terjejas dengan kesukaran menampung kos sara hidup.

"Daripada belajar hanya separuh jalan, lebih baik saya fokus kepada kerja selepas sekolah.

"Lagipun saya lebih tahu keadaan ekonomi diri saya dan keluarga.

“Mungkin mereka tak mampu nak bantu jika saya terdesak sewaktu belajar," kata Ahmad Sakari dari Kuching, Sarawak.

Wawancara bersama kelompok ini juga seiring dengan kajian terbaru oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati hanya separuh daripada lepasan SPM merancang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi, dengan 32% mengatakan pilihan ini tidak berfaedah seperti sebelumnya.

Kajian itu mendapati lebih separuh (51%) akan menyambung belajar, manakala 39% berkata mereka akan mencari pekerjaan manakala 10% tidak mempunyai rancangan.

Dalam pada itu, lepasan sekolah menengah swasta yang turut menduduki SPM baru-baru ini merasakan lambakan graduan universiti tidak memberikan impak positif kepadanya.

Ini menjadikan dia tidak yakin dengan program universiti yang disifatkannya terlalu panjang dan menelan kos yang tinggi.

"Jika universiti awam di Malaysia boleh menawarkan 'mode' pengajian yang lebih ringkas dan tempoh jangka pendek seperti yang ditawarkan oleh universiti di Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat, saya pasti lebih ramai yang berminat untuk sambung pengajian," kata Afifah Fansuri kepada MalaysiaNow.

Di Malaysia, tempoh minimum pengajian peringkat diploma sekitar dua setengah hingga tiga tahun (lima atau enam semester) manakala program ijazah sarjana muda bersamaan dengan empat tahun.

Manakala baki responden yang ditemui memilih untuk fokus membina kerjaya dengan mula bekerja dari peringkat bawahan atau secara "freelance".

Tay Ai Hee dan rakan sekelasnya pula sedang berjinak-jinak dengan menjadi pekerja sambilan dan sukarelawan di pusat jagaan haiwan terbiar di Melaka.

Mereka memasang hasrat untuk membuka hotel dan spa untuk haiwan peliharaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Kami perlu mula sekarang. Jika kami masuk universiti selama empat tahun, 10 tahun akan datang kami mungkin baru ada lima atau enam tahun pengalaman kerja.

"Tapi kalau kami mula sekarang, dalam tempoh 10 tahun akan datang kami sudah ada 10 tahun pengalaman kerja," kata Tay.

Katanya, itu juga bermakna mereka turut mempunyai jumlah tabungan atau simpanan selama 10 tahun untuk masa depan dan kerjaya sendiri.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan universiti bukan lagi destinasi pilihan bagi sesetengah pelajar lepasan sekolah walaupun mereka berjaya dalam SPM.

Data dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira 390,000 atau 72.1% pelajar lepasan SPM pada 2019 tidak berminat untuk meneruskan pengajian.

Berbeza dengan Raqib Shafei, anak jati Kuala Lumpur pula hanya ingin memfokuskan hobi bermain permainan video sebagai keutamaan dan laluan kerjaya selepas sekolah.

Sehingga kini, dia masih aktif membuat penstriman secara langsung bermain permainan video dengan memiliki lebih 7,000 pengikut di media sosial.

"Saya tak boleh beri tumpuan sepenuhnya jika sambung belajar dan mencari duit melalui penstriman.

"Kena pilih salah satu. Jadi, saya pilih buat apa yang saya suka," katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, baki enam responden yang ditemui memerlukan kepakaran dan persijilan universiti untuk mencapai cita-cita menjadikan mereka tidak boleh lari daripada "skrip" sambung belajar.

Mereka masing-masing mahu menceburkan diri dalam kos perguruan, kejuruteraan, perubatan gigi, ekonomi dan komunikasi massa.

Pada masa sama, mereka akur tetap khuatir tentang kenaikan kos sara hidup yang akan memberi cabaran dalam kehidupan sebagai pelajar.

Mereka menggesa kerajaan mengambil tindakan segera dalam belanjawan negara yang masih dibahaskan di Parlimen.

"Kerajaan perlu nilai kembali kelemahan dalam sistem pinjaman pendidikan.

"Selain meningkatkan jumlah pinjaman sejajar dengan inflasi sejak kebelakangan tahun ini."

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan pelajar universiti sepenuh memperuntukkan masa lebih 30 jam seminggu untuk kerja sambilan akibat kesempitan hidup.