- Iklan -
Berita

Cita-cita gadis tanpa kerakyatan mungkin tak kesampaian

Gadis berusia 13 tahun, Clara Sonia Joseph menyimpan impian untuk menjadi seorang doktor tetapi dia mungkin tidak akan dapat mencapai cita-citanya itu.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Clara Sonia Joseph tekun mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di biliknya sambil menunggu keputusan rayuan untuk bersekolah.
Clara Sonia Joseph tekun mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di biliknya sambil menunggu keputusan rayuan untuk bersekolah.

Cita-cita untuk menjadi seorang doktor mungkin tidak akan kesampaian bagi Clara Sonia Joseph meskipun dia meraih keputusan akademik cemerlang.

Ini kerana, gadis berusia 13 tahun itu tidak memiliki status warganegara menyebabkan dia sukar mendapatkan akses kepada segala kemudahan seperti rakyat Malaysia.

Kisah Clara bermula pada 2013 apabila dia ditinggalkan ibu kandungnya, seorang warga asing dari Indonesia yang telah membuat keputusan untuk pulang ke negara asalnya.

Clara yang pada ketika itu hanya berusia tiga tahun "bernasib baik" apabila dia ditinggalkan di bawah jagaan Shamini Gopal Krishnan, seorang ibu kepada dua anak yang menetap di Klang.

Menurut Shamini, dia mula mengenali Clara yang pada ketika itu mempunyai nama lain – menerusi ibu kandung gadis itu yang sentiasa hadir ke pusat kebajikan orang kurang upaya (OKU) milik anak lelakinya pada 2013.

Shamini berkata, ibu kandung Clara hadir ke tempat itu kerana ingin menawarkan diri melakukan kerja pembersihan dan mengambil upah.

Clara Sonia Joseph menunjukkan sijil lahirnya yang ditulis ‘Bukan Warganegara’ dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara di Klang, 22 Mac.
Clara Sonia Joseph menunjukkan sijil lahirnya yang ditulis ‘Bukan Warganegara’ dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara di Klang, 22 Mac.

"Wanita itu sering datang ditemani kanak-kanak perempuan yang hanya boleh bercakap Tamil," katanya kepada MalaysiaNow.

"Ada satu ketika, wanita itu bertanya sama ada dia boleh letakkan anak perempuannya di bawah jagaan pusat kebajikan itu, tetapi saya kata tidak boleh kerana ini adalah tempat untuk golongan OKU."

Bagaimanapun, Shamini yang berasa kasihan, bersetuju untuk menjaga kanak-kanak itu sementara wanita berkenaan pergi bekerja.

Shamini berkata, wanita itu pada satu hari, tidak muncul untuk mengambil anaknya.

Malah, Shamini bersama suaminya Charles Joseph menunggu hampir sebulan sebelum mereka menerima panggilan telefon daripada wanita terbabit yang memberitahu dia sebenarnya sudah pulang ke Medan, Indonesia.

"Selepas itu kami terus membuat laporan polis dan diberi kebenaran untuk menjaga Clara untuk sementara waktu.

"Clara tidak berhenti menangis, dan kami pula berdepan kesukaran untuk berkomunikasi kerana dia hanya boleh bercakap dalam bahasa Tamil, manakala kami hanya bercakap dalam bahasa Melayu atau Inggeris," katanya.

Tidak lama kemudian, Shamini dan Charles membuat keputusan untuk mengambil Clara sebagai anak angkat dan berjaya berbuat demikian selepas melalui pelbagai proses termasuk mendapatkan surat beranak yang berstatus bukan warganegara.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan kerakyatan Clara sejak 2013 masih tertunda hingga ke hari ini.

Shamini berkata, permohonan sudah dibuat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak tahun itu dan dia telah serahkan segala dokumen yang diperlukan, namun masih belum ada keputusan.

"Kami masih tidak putus harapan, dari semasa ke semasa kami akan mendapatkan maklum balas KDN sehinggalah ke hari ini," katanya.

Menurut Shamini, disebabkan Clara masih tiada kerakyatan, ini menyukarkan dia mendapat akses kepada pendidikan dan kesihatan.

Namun begitu, Clara berjaya didaftarkan ke sebuah sekolah kebangsaan selepas dia mendapatkan bantuan daripada S Subramaniam dan P Kamalanathan dari MIC yang merupakan menteri dan timbalan menteri pada ketika itu.

Bagaimanapun, Clara perlu mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum dia didaftarkan ke sekolah setiap tahun.

"Jika melibatkan kesihatan, Clara akan dilayan seperti warga asing yang mana kami perlu membayar lebih untuk mendapatkan rawatan.

"Ini menjadi masalah memandangkan Clara mempunyai penyakit radang usus (IBD) menyebabkan dia perlu mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa," tambah Shamini.

Menurut Shamini, dia juga bimbang terhadap masa depan Clara yang dijangka sukar melanjutkan pelajaran di peringkat universiti, apatah lagi mendapatkan biasiswa.

Katanya, Clara merupakan seorang gadis yang sangat cerdik, malah berjaya mendapatkan 4A dalam peperiksaan akhir darjah enam tahun lepas.

"Dia dapat A dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Apa guna pencapaian cemerlang ini jika dia tidak boleh melanjutkan pelajaran di universiti," katanya sambil menambah Clara mahu menjadi seorang doktor selain mempunyai minat dalam bidang astronomi.