Jabatan Peguam Negara (AGC) sekali lagi menolak representasi dikemukakan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah melalui buku “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”.
Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi tersebut menerusi surat yang diserahkan kepada Tetuan Guok Partnership yang mewakili wanita itu melalui e-mel hari ini.
Berdasarkan surat tersebut yang diperoleh pihak media, AGC memutuskan bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan sedia ada terhadap tertuduh.
AGC menyatakan bahawa keputusan itu adalah muktamad dan sebarang representasi lanjut daripada pihak tertuduh tidak akan dilayan melainkan jika terdapat apa-apa perkembangan baharu yang masih belum dipertimbangkan yang mewajarkan kajian semula dibuat.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman dan peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Pada 25 Januari lepas, AGC menolak representasi Rewcastle-Brown sebelum representasi kali kedua difailkan pada 8 Mac lalu.
Representasi itu difailkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Oktober tahun lepas yang menolak saman fitnah difailkan Sultanah Nur Zahirah terhadap wanita itu berhubung dakwaan fitnah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku berkenaan.
Dalam permohonan itu, Rewcastle-Brown berkata Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perenggan dalam buku berkenaan adalah tidak berunsur fitnah, oleh itu pihak pendakwaan akan menghadapi kesukaran untuk membuktikan kes di atas beban pembuktian melampaui keraguan munasabah di dalam kes jenayah tersebut.
Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 Sept 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan didengar di hadapan hakim K. Muniandy pada 15 Mei ini.