- Iklan -
Berita

Blok pembangkang kosongkan Dewan Rakyat selepas usul tergempar pengeluaran KWSP ditolak

Pejabat speaker Dewan Rakyat menolak usul yang dihantar Jumaat lalu itu dengan alasan ianya sudah dijawab oleh menteri dan timbalan menteri kewangan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pejabat speaker Dewan Rakyat menolak usul yang dihantar Jumaat lalu dengan alasan ianya sudah dijawab oleh menteri dan timbalan menteri kewangan.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pejabat speaker Dewan Rakyat menolak usul yang dihantar Jumaat lalu dengan alasan ianya sudah dijawab oleh menteri dan timbalan menteri kewangan.

Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menarik perhatian pembukaan Dewan Rakyat sesi pagi hari ini apabila secara sepakat bertindak keluar dewan apabila dimaklumkan usul tergempar mengenai permohonan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar ditolak untuk dibahaskan.

Belum sampai 10 minit pembukaan persidangan hari ini, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pejabat speaker Dewan Rakyat menolak usul yang dihantar Jumaat lalu dengan alasan ianya sudah dijawab oleh menteri dan timbalan menteri kewangan.

Perkembangan itu kemudiannya mencetuskan kekecohan kerana ahli-ahli Parlimen blok pembangkang menyifatkan sudah terlalu banyak usul mereka ditolak tanpa alasan yang jelas.

Bagaimanapun, kata Fayhsal, sehingga kini beliau masih menerima banyak rungutan, aduan dan kebimbangan daripada rakyat mengenai permohonan pengeluaran KWSP secara bersasar.

"Aduan dan keresahan mereka bahawa penjelasan dan ulasan daripada kedua-dua menteri dan timbalan menteri kewangan tidak memuaskan mereka.

"Jadi, izinkanlah kami bahaskan perkara ini (pada) hari ini, berbaki dua hari lagi sebelum kita tamat sidang Parlimen ini," katanya membangkitkan perkara itu sebelum bacaan kali kedua beberapa rang undang-undang yang dijadualkan dibaca hari ini.

Pada Jumaat, Fayhsal menghantar usul tergempar itu dengan memohon sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat untuk memberi laluan kepada usul itu bagi membincangkan pengeluaran lanjut KWSP secara bersasar kepada rakyat yang terdesak.

Atas sebab itu, beliau sekali lagi hari ini meminta supaya usul itu dipertimbangkan untuk dibincangkan kerana membawa kepentingan orang ramai.

Pada masa sama, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin turut menegaskan supaya Dewan Rakyat membenarkan usul itu dibincangkan pada hari ini mengambil kira keterdesakan hidup masyarakat akibat ekonomi semasa.

Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau berkata keputusan tersebut sudahpun dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 43 iaitu keputusan tersebut adalah muktamad.

"Jika tak puas hati, boleh buat usul lagi," katanya kepada Fayhsal.

"Kalau nak keluar, keluar sahaja."

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi