- Iklan -
Berita

Broker tak teruja di sebalik ketiadaan butiran pelaburan sekembali Anwar dari China

Hanya dua daripada 19 MoU menunjukkan butiran terperinci, manakala persoalan timbul mengenai jenis pelaburan oleh syarikat China.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari China Li Qiang pada sambutan rasmi di Great Hall of the People di Beijing, 1 April. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya dari China Li Qiang pada sambutan rasmi di Great Hall of the People di Beijing, 1 April. Gambar: Bernama

Ketiadaan butiran mengenai 19 memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China sewaktu lawatan rasmi Anwar Ibrahim ke Beijing menimbulkan persoalan berkaitan jenis dan nilai sebenar pelaburan yang didakwa diraih perdana menteri.

Anwar menyifatkan MoU itu sebagai "bersejarah", malah mengatakan ia jauh lebih besar berbanding komitmen pelaburan berjumlah lebih RM140 bilion yang ditandatangani sewaktu lawatan rasmi Najib Razak ke China, yang ketika itu dilihat sebagai tertinggi dalam sejarah.

Bekas perdana menteri itu pada 2016 mengumumkan sejumlah 14 perjanjian bersama syarikat China bernilai RM144 bilion, yang disifatkan sebagai komitmen pelaburan tunggal terbesar mengalir masuk ke Malaysia.

Meskipun laporan berita menyifatkan lawatan rasmi Anwar ke China membuka lembaran baru hubungan China-Malaysia, broker dan pelabur tempatan masih tertanya-tanya mengenai butiran MoU yang ditandatangani itu.

"Sehingga butiran penuh berkaitan industri terlibat dan jenis pelaburan diterbitkan, senarai itu tidak begitu mengujakan," kata seorang broker kepada MalaysiaNow.

Senarai 19 MoU dikongsi di kalangan pemain pasaran menunjukkan hanya dua daripadanya dibutirkan.

Ia termasuk MoU antara badan perdagangan eksport-import produk elektronik China dengan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, iaitu pertubuhan utama perniagaan Cina Malaysia.

"Sebuah lagi MoU ialah bersama pengeluar kereta Geely, iaitu entiti yang dibawa masuk sewaktu era Najib untuk memulihkan industri automobil Malaysia yang tenat ketika itu," kata seorang perunding pelaburan.

Seorang broker berkata adalah penting kerajaan mendedahkan lebih banyak butiran terperinci mengenai pelaburan yang dijanjikan, sambil mengingatkan sesuatu MoU tidak terikat dari segi undang-undang.

"Ia cuma sekadar jabat tangan versi kertas," katanya kepada MalaysiaNow.

Persoalan juga dibangkitkan sama ada MoU terkini itu melibatkan pelaburan yang baru atau komitmen semula oleh syarikat yang sudah pun berpangkalan di Malaysia sejak tiga tahun lepas.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan pelaburan langsung asing (FDI) berkata Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) perlu dimaklumkan mengenai sebarang pelaburan baharu yang masuk ke Malaysia.

"NCI ialah badan tertinggi yang meluluskan semua FDI. Sama ada pelaburan terbaharu ini sudah dibentangkan kepada mereka atau tidak, saya tidak tahu. Tanpa kelulusannya, mereka tidak dapat meneruskan pelaburan," tambah sumber itu.

Persoalan juga timbul sama ada pelaburan yang akan dibawa ini dipacu teknologi dan memenuhi keperluan pelaksanaan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Berapa banyak syarikat China yang berminat melabur di Malaysia diperakui ESG, atau didorong oleh teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan peralihan kita kepada pelabur berkualiti tinggi?" tanya sumber. 

Sejak 2018 hingga September tahun lepas, Malaysia menarik pelaburan berjumlah RM1.1 trilion, separuh daripadanya FDI, di sebalik lebih dua tahun krisis Covid-19 yang menyaksikan industri terjejas akibat pandemik itu.

Pada 2021 sahaja, negara menyaksikan pelaburan bernilai kira-kira RM306 bilion diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri utama. 

Usaha kerajaan menarik pelaburan pasca-Covid menyaksikan tumpuan beralih kepada syarikat berkualiti tinggi, berlainan dengan amalan sebelum ini di mana syarikat multinasional besar menggunakan Malaysia sebagai pangkalan bagi memenuhi keperluan buruh di kilang pembuatan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), penekanan juga diberikan pada elemen ESG, dengan syarikat asing disarankan untuk menambah nilai dan mewujudkan pekerjaan berasaskan pengetahuan di samping memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Antara pelabur terbesar ialah Risen Solar China dengan jumlah pelaburan bernilai RM42 bilion, Intel Electronics (RM30 bilion) dan peneraju papan litar bercetak (PCB) global dan litar bersepadu (IC) AT&S (RM8.5 bilion), yang membangunkan pusat reka bentuk di Kulim, Kedah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.