- Iklan -
Berita

Pemandu teksi berjalan lebih 300km ke Istana Negara serah memorandum KWSP

Lelaki berusia 48 tahun itu tiba di pintu Istana Negara dan dibenarkan masuk pada pukul 11.15 pagi bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandu teksi Norazlan Ismail kelihatan tersenyum selepas menyampaikan memorandum bagi pengeluaran KWSP kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Pintu 3, Istana Negara, 3 April.
Pemandu teksi Norazlan Ismail kelihatan tersenyum selepas menyampaikan memorandum bagi pengeluaran KWSP kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Pintu 3, Istana Negara, 3 April.

Pemandu teksi, Noorazlan Ismail yang berjaya menamatkan perjalanan lebih 300 kilometer dari Skudai, Johor ke Istana Negara hari ini dalam usaha menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Lelaki berusia 48 tahun itu tiba di pintu Istana Negara dan dibenarkan masuk pada pukul 11.15 pagi bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dia ditemani oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dari Perikatan Nasional (PN).

Katanya, dia menerima galakan daripada orang ramai yang menyokong usaha itu sepanjang perjalanan selama enam hari itu.

"Alhamdulillah, kaki saya sekadar melecet. Ramai yang mahu bantu beri duit dan tumpangkan saya.

“Tapi bukan itu motif. Kalau nak cepat sampai lebih baik naik bas.

"Saya mahu pemimpin nampak," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut Noorazlan, dia tidak menyangka dapat memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum.

Lelaki itu turut menerima cenderahati daripada Sultan Abdullah, meskipun tidak dapat bertemu baginda.

"Baginda tahu saya ada di sini," katanya.

Katanya, wang KWSP tersebut mahu digunakannya untuk membayar hutang.

Sebelum ini, Noorazlan mengadakan panggilan video bersama Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin untuk memaklumkan mengenai tujuannya berjalan kaki.

Nooazlan dijangka dibawa ke Parlimen untuk bertemu wakil-wakil rakyat petang ini.

Dalam perkembangan lain Dewan Rakyat hari ini menolak usul Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berhubung pengeluaran bersasar KWSP. 

Seruan membenarkan pengeluaran KWSP turut disuarakan oleh bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam Parlimen. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pencarum KWSP boleh mencagarkan wang mereka kepada pihak bank untuk pinjaman yang mahu dibuat. 

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata konsep mencagarkan wang KWSP kepada bank tidak menyelesaikan masalah pencarum yang rata-rata mahu membayar komitmen dengan pengeluaran bersasar.