- Iklan -
Berita

Persatuan anak peneroka Felda rayu kerajaan beri sumbangan raya

Sumbangan itu dianggap penting bagi golongan peneroka yang kini berdepan dengan kos sara hidup membebankan.

Azzman Abdul Jamal
1 minit bacaan
Kongsi
Pemberian sumbangan ini adalah amalan biasa di bulan Ramadan setiap tahun bagi meringankan beban peneroka untuk membeli barangan keperluan terutama bagi menyambut Aidilfitri, kata Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman.
Pemberian sumbangan ini adalah amalan biasa di bulan Ramadan setiap tahun bagi meringankan beban peneroka untuk membeli barangan keperluan terutama bagi menyambut Aidilfitri, kata Penasihat Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) merayu supaya kerajaan memberikan sumbangan raya kepada 112,635 peneroka yang bakal meraikan sambutan Aidilfitri bulan ini.

Penasihat Anak Mazlan Aliman berkata, sumbangan itu dianggap penting bagi golongan peneroka yang kini berdepan dengan kos sara hidup membebankan.

Beliau berkata, pemberian sumbangan ini adalah amalan biasa di bulan Ramadan setiap tahun bagi meringankan beban peneroka untuk membeli barangan keperluan terutama bagi menyambut Aidilfitri.

Katanya, peneroka pada tahun-tahun sebelumnya kebiasaannya akan menerima sekitar RM300 hingga RM600 pada pertengahan Ramadan dan jumlah tertinggi pernah diterima ialah RM1,000.

"Kami faham kerajaan sedang berdepan kekangan kewangan, sebab itu jumlah yang hendak diberikan saya anggap perkara nombor dua," katanya kepada MalaysiaNow.

"Yang penting kami dapat sedikit sumbangan.

“Ini sebagai satu penghargaan dan pengiktirafan kepada peneroka yang dapat mengeluarkan produktiviti sama ada hasil sawit atau getah."

Menurut Mazlan, pemberian sumbangan itu pastinya akan memberi manfaat kepada golongan peneroka terutama yang mereka yang pendapatannya terjejas disebabkan faktor pokok tua dan pokok yang sudah ditebang.

"Maka pendapatan kumpulan ini tidak seberapa. Dengan adanya duit raya ini, ia akan memberikan semangat kepada peneroka untuk membeli barang keperluan.

"Semasa pentadbiran Tun (Dr Mahathir Mohamad) pada 2018, sumbangan diberi pada saat akhir, begitu juga pada 2019.”