Anak lelaki Rudziah berusia 16 tahun ketika dia membeli vape pertamanya selepas terpengaruh dengan video membuat kepulan asap di YouTube, menyebabkannya nekad untuk mencubanya sendiri.
Kini, anaknya Akmal berusia 19 tahun dan masih menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap hari untuk meniru aksi orang menghisap rokok elektronik itu di media sosial.
"Dulu dia kemaruk main PUBG (permainan video).
"Sekarang kemaruk buat asap vape pula," katanya kepada MalaysiaNow.
Rudziah, 48, seorang pengusaha salon rambut di Kota Warisan, Selangor memberitahu anak lelakinya itu bermula dengan menghisap vape berperisa tembikai dan mangga tropika dengan kadar 2% nikotin yang dibelinya secara dalam talian atau di kedai-kedai berdekatan rumahnya.
Selepas tamat persekolahan, anaknya kini menghisap vape menggunakan peranti rokok elektronik yang mengandungi sehingga 12.5% nikotin yang dibeli melalui rakan baiknya.
"Saya ada dengar kawan-kawan beritahu jumlah itu sangat tinggi dan melepasi had undang-undang kerajaan."
Rudziah merupakan salah seorang daripada ramai ibu bapa di seluruh negara yang bimbang tentang bagaimana vape secara senyap-senyap mendapat populariti dalam kalangan orang muda termasuk kanak-kanak dan remaja bersekolah.
Minggu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan nikotin yang menjadi bahan utama untuk produk vape dikeluarkan dari senarai bahan kawalan di bawah Akta Racun.
Langkah itu sekali gus memberi ruang kepada kerajaan untuk mencukai produk vape seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023.
Susulan itu, banyak pakar dan kumpulan kesihatan awam mengecam keputusan tersebut menyifatkan ia adalah "langkah regresif luar biasa” yang menimbulkan persoalan mengenai komitmen Putrajaya terhadap kesihatan rakyat.
Seorang bapa dari Setapak, Kuala Lumpur mahu dikenali sebagai Muhammad Shahrudin turut meluahkan kebimbangannya terhadap perkembangan terbaru itu.
Dua orang anaknya yang paling tua mula menghisap vape pada usia 17 dan 19 tahun bermula tahun lalu mula mendapat peranti rokok elektronik itu dengan sangat mudah daripada kedai-kedai berdekatan di apartmen mereka.
Katanya, sepanjang pemerhatiannya tiada siapa pun yang ambil berat tentang pembelian vape dan bahan nikotin melibatkan individu bawah umur kerana ianya bukan bahan tembakau.
"Anak perempuan saya selalu tunjuk rokok vape dia bertukar warna, yang lain ada menukar ikon di skrin, ada yang import dari luar negara.
"Ini dah betul-betul satu epidemik untuk anak-anak remaja kita.
"Kenapa keluarkan dari akta racun? Makin tak bersalah lah mereka lepas ni," katanya ketika dihubungi MalaysiaNow sambil menambah anak perempuannya menghidap penyakit asma selepas setahun menggunakan vape.
Sejak beberapa tahun lalu, pakar-pakar kesihatan awam mula memberi amaran tentang risiko dan bahaya vape yang boleh memudaratkan kesihatan meskipun korban terbanyak setiap tahun disebabkan aktiviti merokok.
Dalam pada itu, Sharifah Maya seorang doktor perubatan dan ibu kepada tiga orang anak pula berkata profesion perubatan sudah bertahun lamanya dimanipulasi dan dikawal oleh industri tembakau.
Kini dengan usaha mengeluarkan nikotin daripada akta racun, bukan sahaja mendedahkan rakyat kepada bahaya tetapi juga menambah beban kepada sektor kesihatan awam.
"Perlu diingatkan otak kanak-kanak dan orang dewasa disambungkan dengan sangat berbeza.
"Ini menjadikan mereka ketagih nikotin lebih cepat berbanding golongan dewasa.
"Dengan mengeluarkan nikotin dari akta racun ini, membawa negara kepada satu kebimbangan besar," katanya kepada MalaysiaNow.
Menurut Maya, anak bongsunya yang berusia 15 tahun sudah beberapa kali memberitahu hasratnya secara terbuka mahu mencuba vape selepas melihat abang dan orang sekelilingnya menggunakan rokok elektronik itu.
Sebelum ini, dia dan suami banyak memberi nasihat dan kadangkala "ugutan" bahawa pihak berkuasa akan mengenakan tindakan kepadanya jika menggunakan vape pada usia muda.
"Jika pengecualian nikotin diteruskan, apa lagi yang dia nak takutkan?
"Undang-undang sendiri berikan dia lampu hijau untuk vape."
Katanya, beberapa kajian dan laporan antarabangsa sudah menyebutkan terdapat risiko beribu-ribu kanak-kanak akan menjadi ketagih kepada nikotin kerana mahu "memuaskan diri".
"Kita dah tahu perkara ini akan datang jika usaha ini diteruskan tapi kita buat tak endah.
"Ramalannya dah jelas. Jadi (kerajaan) kena fikirkan sekali lagi."